Khairy akan kecundang di Rantau

Sekiranya Khairy Jamaluddin Abu Bakar bertembung dengan Mohamad Hasan yang lebih mesra dengan panggilan Tok Mat di Rantau di dalam pilihan raya negeri di Negeri Sembilan, beliau pasti akan kecundang, kata penganalisa politik.

“Peluang Tok Mat untuk menang adalah lebih tinggi kerana beliau pemimpin kanan Umno dan lebih dikenali di Rantau berbanding dengan Khairy. Beliau memegang jawatan kanan di dalam kerajaan berbanding dengan Khairy yang tidak ada platform,” kata penganalisa politik, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi dari Akademi Pengajian Melayu di Universiti Malaya.

Awang Azman turut menyifatkan kerjasama Pakatan Harapan dengan Barisan Nasional sebagai satu kelebihan untuk Tok Mat.

“Ia mampu meningkatkan undi di DUN Rantau.”

Ahli sains politik Universiti Tasmania, Australia, Profesor James Chin pula berpandangan bahawa Khairy tidak mempunyai sokongan kukuh di Rantau.

“Sokongan untuk Khairy di Rantau sangat rendah.”

Persoalan ini diajukan ekoran dari tawaran oleh Bersatu kepada Khairy untuk bertanding di dalam pilihan raya negeri di Negeri Sembilan.

Dun Rantau yang kini diwakili timbalan presiden Umno, Mohamad Hasan akan menyaksikan pertembungan dua tokoh terkemuka di Negeri Sembilan.

Khairy, walau bagaimanapun, belum memberi kata putus.

Profil KJ

Khairy Jamaluddin merupakan mantan ketua pemuda Umno sebelum dipecat dari Umno.

Beliau pernah menjawat jawatan menteri dalam kerajaan terdahulu. Jawatan kabinet terakhirnya ialah menteri kesihatan.

Pada masa sekarang beliau pengacara rancangan di Hot FM dan turut terlibat di dalam rancangan Keluar Sekejap.

Khairy juga rapat dengan Mohamad Hasan sewaktu dia berada di dalam Umno dan mewakili Rembau selama tiga penggal sejak 2008.

Beliau bagaimanapun tumpas di Sungai Buloh semasa pilihan raya umum 14.

Latar belakang Tok Mat

Selain menjadi orang nombor dua Umno, Mohamad juga ketua bahagian Rembau dan Adun Rantau. Beliau mewakili Rantau sejak tahun 2004 dan merupakan anak tempatan Rantau.

Mohamad juga pernah memimpin Negeri Sembilan selama 14 tahun sejak 2004.

Beliau juga memegang portfolio pertahanan di dalam kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.

Mohamad juga pengarah pilihan raya Umno dan BN di dalam pilihan raya negeri yang dijadualkan akan berlangsung selepas bulan Jun.

Enam negeri yang akan menyaksikan pilihan raya negeri ialah Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.