Khalid beri gred A pencapaian kerajaan perpaduan, harungi cabaran pasca PRU-15

EKSKLUSIF | Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad memberikan gred A kepada pencapaian 100 hari pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ukuran itu diberi berdasarkan penetapan hala tuju negara yang jelas dan tepat di samping mempunyai banyak pencapaian membanggakan namun terpaksa mengharungi cabaran dalam membentuk kerajaan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Katanya penyatuan dan kebersamaan pelbagai gabungan parti politik negara pastinya mempunyai cabaran tersendiri bagi memastikan kerajaan yang dibentuk boleh terus berfungsi dan ditadbir tanpa sebarang gangguan.

“Dalam tempoh 100 hari pentadbiran (Kerajaan Perpaduan), saya dapati bahawa dengan mengambil kira cabaran-cabaran ini boleh dikatakan bahawa prestasinya adalah peringkat A dan belum lagi A+ (tambah).

“Ini kerana dengan mengambil kira latar belakang pembentukan kerajaan yang sangat mencabar. Banyak penyelarasan daripada segi pemikiran dan hala tuju yang perlu dilakukan untuk saling mengimbang antara pihak-pihak dalam kerajaan,” katanya kepada Harapan Daily ketika ditemu bual di Shah Alam malam tadi.

Khalid yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH berkata Anwar terpaksa melakukan banyak perkara bagi memastikan kerajaan stabil dan ada konsensus yang perlu dipersetujui bersama berhubung dengan agenda yang ingin dilaksanakan.

Tambah beliau kesungguhan dapat dilihat apabila Perdana Menteri terus memperjuangkan usaha untuk membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup dan menamatkan kemiskinan di negara ini.

“Tumpuan yang diberikan oleh Anwar ialah persoalan kos sara hidup dan cara-cara bagaimana hendak mencapai prestasi penjimatan fiskal.

“Ditambah dengan hutang (negara) yang terpaksa diwarisi sebanyak lebih RM1 trilion dan bagaimana hendak menentukan bahawa keutamaan diberikan kepada projek-projek yang akan menguntungkan rakyat,” ujarnya yang juga bekas Ahli Parlimen Shah Alam.

Khalid berkata Belanjawan 2023 yang telah dibentangkan merupakan manifestasi terhadap usaha-usaha kerajaan untuk melakukan penjimatan, kecekapan dan menyelesaikan permasalahan rakyat.