Khalid Samad ketuai Amanah Kelantan, persiap hadapi PRN

Khalid Samad ketuai Amanah Kelantan, persiap hadapi PRN

Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan beberapa bulan akan datang, Parti Amanah Negara telah melakukan penyusunan semula jentera di negeri Pantai Timur itu dengan melantik Pengarah Komunikasi Amanah Pusat mengambil alih pengurusan peringkat negeri.

Hal itu dinyatakan oleh Khalid dalam sidang media siang tadi.

Katanya, misi besar beliau adalah untuk menebus kekalahan Amanah dan Pakatan Harapan (PH) amnya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lepas di Kelantan.

“Saya maklumkan saya telah diarah oleh Amanah Nasional untuk mengambilalih pengurusan Amanah negeri Kelantan untuk menghadapi PRN yang kita tak tentu lagi, tetapi dijangka diadakan selepas raya.

“InshaAllah kita akan pertingkatkan prestasi kita. Apabila orang yang menguruskan itu, dia sendiri terlibat dalam pilihan raya sudah tentu dia tidak dapat memberikan tumpuan yang lebih menyeluruh. Dia berikan tumpuan kepada kawasan dan kerusi tertentu sahaja.

“Berdasarkan apa yang telah berlaku pada PRU ke 15, memang kita sedari ia merupakan satu cabaran besar untuk kita bergerak memenangi kerusi di Kelantan,” katanya.

Khalid bagaimanapun yakin gelombang hijau yang digembar gemburkan sebagai kebangkitan Islam mula menyusut di Pantai Timur.

Katanya, gelombang itu bukan tulen di atas semangat kebangkitan Islam sebaliknya salah faham terhadap Pakatan Harapan yang sengaja ditanam oleh PN.

“Saya berkeyakinan gelombang hijau berdasarkan maklumat yang tidak tepat dan oleh kerana itu, dengan tempoh masa beberapa bulan, kita akan cuba PRN di Kelantan ini tidak diwarnai (lagi oleh) gelombang hijau.

“Gelombang itu berdasarkan kepada sentimen bukan berdasarkan kebangkitan Islam seperti didakwa. Kalau kita pergi ke masjid dan surau tak ada pula melimpah sejak PRU lalu.

“Kalau solat subuh 2 – 3 saf sahaja,” sinisnya.

Dalam pada itu, Khalid turut mengesahkan Amanah dan PH akan memulakan perbincangan bersama BN di Kelantan.

Namun keputusan muktamad membuat pakatan pilihanraya, katanya, hanya akan ditentukan oleh PH pusat.

“Dengan BN boleh kita adakan hubungan dan perbincangan tetapi keputusan muktamad sama ada mengambil bentuk Kerajaan Perpaduan atau sebaliknya, akan dimuktamadkan kemudian.

“Kita dalam pilihanraya ini menawarkan tatakelola yang baik dan pendekatan rahmah. Ini pendekatan Amanah dan selari dengan PH.

“Kita juga nak fahamkan rakyat ini bukan soal pilih Islam, pro Islam atau bukan Islam. Kedudukana agama Islam telah mantap, yang jadi persoalan ialah siapa nak mentadbir negeri Kelantan.

“Siapa di antara mereka yang bertanding boleh menghasilkan kerajaan negeri sebaik mungkin dan rakyat mencapai kemakmuran (itu sewajarnya dipilih),” katanya lagi.

BACA JUGA Agus fokus sampaikan maklumat pada rakyat, realisasikan Malaysia Madani

COMMENTS

Wordpress (0)