Kisah madani dalam mitos Hindu

Konsep “madani” yang dipelopori Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu diakui mempunyai pelbagai pengertian dan pemahaman mengikut tahap pengalaman dan pemikiran setiap individu.

Apabila saya berbual dengan beberapa rakan kaum India beragama Hindu yang banyak pula membaca teks klasik India, kami menyentuh tentang konsep madani yang disajikan dalam sebuah kisah purana popular.

Dari sudut makna literal, istilah berkenaan merujuk keadaan sebuah masyarakat yang maju dari aspek rohani, akhlak dan material.

Perdana menteri pula menekankan agenda penyelesaian masalah, memenuhi keperluan semasa negara, pencorakan masa depan, serta usaha memenuhi potensi rakyat dan negara menerusi kerangka Malaysia Madani yang diumumkan pada 19 Januari 2023.

Kita perlu sedar bahawa masyarakat madani yang diimpikan bukan sekadar civil society mengikut kerangka barat. Sebaliknya, usaha pembinaan sebuah negara bangsa mengikut acuan kita sendiri yang meraikan kepelbagaian dalam segala aspek kehidupan sebagai penduduk majmuk yang merdeka.

Perihal konsep dan pengisian “madani” sudah banyak diperkatakan secara terperinci dan meluas oleh pelbagai pihak. Maka, saya mahu menarik perhatian pembaca kepada kisah madani dalam purana klasik India seperti epik, mitos dan cerita rakyat.

Saya ada menulis secara terperinci kisah melibatkan peristiwa madani dalam penceritaan semula teks Khanda Puranam (2022). Konsep dan konteks istilah itu berbeza dengan gagasan yang diketengahkan Datuk Seri Anwar tetapi agak menarik untuk kita perhatikan kaitan yang boleh diambil sebagai pengajaran.

Kisah Samudra Manthana sangat popular dalam kalangan kaum India yang tahu cerita-cerita klasik dari negara India. Ia menceritakan peristiwa penjaraan lautan melibatkan dua golongan iaitu sura (dewa di kayangan) dan asura (sepupu mereka di petala bumi).

Dalam kisah purana, seorang maharishi bernama Durvasa marah apabila tidak menerima penghormatan yang sepatutnya daripada Indra iaitu ketua para dewa.

Maka, Indra disumpah sehingga hilang segala harta dan kuasa yang dikurniakan Lakshmi. Dewi itu yang menjadi simbol kekayaan pula diarah masuk ke dalam lautan dan membawa bersama-samanya segala kemakmuran dimiliki Indra.

Serta-merta, segala kekayaan, harta, dharma, kuasa, kekuatan, kebaikan dan nilai-nilai positif tiba-tiba hilang daripada hidup dan sanubari Indra. Segala bentuk kekayaan mula merosot secara mendadak.

Ringkasnya, Indra dan para dewa di kayangan menjadi umpama peminta sedekah. Maka, mereka pergi mengadap Vishnu yang merupakan ketua tertinggi kepada Indra dalam susunan hierarki.

“Kumpulkan segala herba ayurveda yang penuh mujarab dan buang ke dalam lautan. Kemudian, ajak para asura membantu anda mengangkat dan menjadikan Gunung Mandara sebagai madani. Ambil Vasuki iaitu raja ular tedung pada leher Shiva dan jadikannya tali untuk proses penjaraan Samudra Manthana.”

Demikian arahan Vishnu dalam kisah purana yang disampaikan dalam pelbagai versi oleh nenek-moyang kaun India sejak zaman-berzaman.

Istilah madani yang digunakan dalam kisah di atas merujuk kepada satu set peralatan tradisional yang digunakan bagi proses penjaraan iaitu teknologi menghasilkan mentega daripada susu lembu.

Kaum India di Malaysia tidak lagi menggunakan peralatan itu tetapi masih boleh ditemui di kawasan pedalaman negara India. Ia terdiri daripada bekas menyerupai balang yang diperbuat daripada kayu dan digelar theki.

Terdapat pula kayu yang dimasukkan ke dalam balang untuk diputar secara berteruskan dalam proses penjaraan. Kedua-dua objek ini serta proses yang terlibat dalam menghasilkan mentega secara tradisional dinamakan madani dalam budaya India tradisional.

Dalam kisah purana yang saya sebut di atas, apabila proses Samudra Manthana berlangsung, Lakshmi yang masuk ke dalam lautan akan muncul semula dan Indra pula bakal kembali memiliki segala apa yang hilang sebelum ini.

“Proses madani akan turut menghasilkan amrita atau soma ajaib yang menjamin sesiapa yang meminumnya hidup buat selama-lamanya,” Vishnu menerangkan kepada Indra dan para sura.

Proses penjaraan lautan seperti diarah oleh Vishnu bukan kerja mudah. Maka, golongan sura dan asura bergabung tenaga selepas bersetuju melupakan perbezaan dan persengketaan lama.

Kedua-dua pihak bersatu dalam usaha mencari dan memasukkan segala herba ayurveda ke dalam lautan. Kemudian, mereka mengangkat Gunung Mandara untuk dijadikan penggodak atau madani.

Memandangkan golongan asura lebih kuat dan bertenaga, maka mereka dikerah melakukan kebanyakan kerja berbanding golongan sura.

Kemudian, Vasuki iaitu raja ular tedung dari leher Shiva dililit sekeliling Gunung Mandara untuk memudahkan proses penjaraan.

Semasa proses itu berlangsung, keluarlah pelbagai racun dan bisa yang dinamakan Halahala dari dalam lautan.

Vishnu meminta Shiva bertindak segera sebelum racun berbahaya itu memberi kesan negatif kepada para sura, asura dan alam semula jadi.

Tanpa berlengah, Shiva meneguk racun Halahala. Kesemua racun itu tersekat pada kerongkong dan menyebabkan halkum Shiva bertukar menjadi biru.

Itulah sebabnya lukisan Shiva dalam tradisi Hindu menunjukkan halkum, leher atau seluruh tubuhnya berwarna biru.

Kerja penjaraan menerusi proses madani diteruskan. Tidak lama kemudian, Lakshmi menjelma pada permukaan lautan dan merestui semua yang hadir. Maka, terhapuslah sumpahan Durvasa ke atas Indra.

Sejurus selepas itu, amrita terhasil daripada proses madani. Para sura dan asura terpesona sebelum melonjak kegembiraan. Segala usaha mereka sebagai sebuah keluarga yang bersatu sudah membuahkan hasil.

Dengan meminum amrita atau soma itu, mereka akan berpeluang untuk hidup dan berkuasa buat selama-lamanya. Maka, timbullah persengketaan dan perebuatan kuasa yang boleh dibaca dalam buku Khanda Puranam.

Walaupun konsep “madani” yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan tidak sepenuhnya sama dengan kisah madani dalam teks purana, masih ada beberapa pengajaran yang hampir selari.

Misalnya, semua pihak perlu bersatu dan bekerjasama kerana masalah yang dihadapi satu komuniti boleh memberi kesan buruk kepada komuniti lain juga.

Usaha mencapai kemajuan, sama ada secara zahir atau batin, bukanlah suatu proses yang mudah, sebaliknya menuntut kesabaran, perancangan, komitmen penuh serta pemimpin yang berwibawa dan berkaliber.

Walaupun purana, epik dan mitos sering dianggap cerita dongeng dan khayalan semata-mata, sebenarnya ia masih sarat pelbagai pengajaran yang boleh dicerakin dan dimanfaatkan dalam kehidupan hari ini.

———-

Uthaya Sankar SB seorang penulis, pengkaji sepenuh masa dan pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang gemar berkongsi ilmu dengan pembaca.

BACA JUGA: Tahun baru kaum India