Kisah sedih penduduk Babalitan yang mahukan kemajuan

Kisah sedih penduduk Babalitan yang mahukan kemajuan

Rozaliani Manang, 12, adalah anak bongsu kepada enam adik beradik. Beliau sangat aktif dalam sukan dan menjadi pelajar cemerlang dalam bidang sukan dan akademik di Sekolah Kebangsaan Babalitan, Nabawan, salah satu daerah yang terletak dalam bahagian pedalaman di Sabah.

Kerana bakatnya dalam sukan, beliau telah terpilih mewakili negeri Sabah ke peringkat kebangsaan untuk pertandingan bola tampar bawah umur 12 tahun.

Namun kerana kemiskinan, kesusahan perhubungan dan sebagainya, hasrat anak bongsu dari pengawal keselamatan sekolah ini untuk bermain sehingga ke peringkat kebangsaan, tidak tercapai.

Padahal jika berjaya mewakili negeri akan membolehkan masa depannya lebih cerah dan dapat menyambung pelajaran ke sekolah berasrama yang lebih baik di bandar-bandar berbanding dengan daerah pendalaman beliau yang serba kekurangan.

Bapa beliau, Manang Isawan, 47 tahun, seorang Murut anak jati kelahiran Kampung Babalitan mempunyai enam orang anak iaitu tiga orang lelaki dan tiga perempuan.

Empat orang anak-anaknya  sudah berdikari. Kini tinggal dua saja tanggungan iaitu seorang di tingkatan 5 di SMK Nabawan dan Rozaliani yang merupakan anak bongsu. Isteri beliau hanya seorang suri rumah sepenuh masa.

Bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan di sekolah SK Babalitan, beliau bertugas daripada 7 malam sampai pukul 7 pagi setiap hari. Gaji secara bulanan dan boleh overtime dengan pembayaran tidak melebihi 1500. E-kasih RM 300 dah lama ditarik kerajaan kerana beliau mempunyai pekerjaan tetap.

“Dari tahun 1 hingga tahun 5, adik Rozaliani anak kecil ini belajar sendirian di rumah hanya berbekalkan lampu solar. Kipas yang ada hanya mampu tampng separuh hari sahaja. Peti sejuk kat rumah hanya tampung setengah hari. TV juga tak dapat pasang sebab tak cukup bateri,” cerita Manang.

Baru-baru ini, Manang dikhabarkan anaknya, Rozaliani terpilih sebagai permain bola tampar mewakili negeri Sabah untuk kejohanan bola tampar bawah umur 12 tahun di peringkat kebangsaan. Beliau bangga dengan anaknya dan harapan menggunung tinggi agar anaknya berjaya mewakili Sabah.

Anaknya Rozaliani sepatutnya mewakili Sabah menyertai kejohanan bola tampar di peringkat kebangsaan pada 26 Ogos hingga 9 September, namun kemungkinan besar ia tidak kesampaian.

Sebelum itu, Rozaliani telah mewakili sekolahnya ke kejohanan di peringkat daerah dari 6 hingga 8 Jun di SK Lotong, Nabawan.

Beliau kemudiannya mewakili daerah ke kejohanan di peringkat negeri pada 18 hingga 22 Julai di Kunak. Namun usaha itu terbantut setakat itu sahaja padahal beliau sepatutnya mewakili Sabah ke peringkat kebangsaan.

“Tetapi setakat ini tiada surat dikeluarkan. Dengar tak jadi pergi kerana tak cukup kewangan,” cerita Manang, bapa Rozaini sedih.

Bagi beliau, jika anaknya terpilih sebagai permain kebangsaan dia mempunyai masa depan yang cerah untuk memasuki sekolah berasrama penuh termasuk sekolah sukan.

Rozaliani memang hebat bersukan. Beliau telah memenangi pingat emas dalam acara merejam lembing dan membuat rekod baru bagi acara tersebut dan mendapat tempat ketiga dalam acara melontar peluru di daerah beliau.

“Sebagai seorang bapa impian saya adalah untuk anak saya berjaya supaya boleh mengubah kehidupan. Jika ada yang nak hantar dan taja ke Semenanjung di sekolah asrama penuh sukan saya juga sanggup dan memberi kebenaran asalkan anak saya dijaga dengan baik semasa bersekolah,” cerita beliau lagi.

Cerita ini adalah sebahagian kecil sahaja perjuangan anak-anak Sabah untuk maju. Mereka dikekang oleh pelbagai masalah yang memerlukan bantuan dari kerajaan negeri dan pusat.

SK Babalitan di Nabawan, daerah pendalaman Sabah yang dahagakan pembangunan.

Sebelum Covid-19 melanda negara, sekumpulan aktivis masyarakat hadir ke SK Babalitan untuk membantu para pelajar di sini melalui Projek Membasmi Kemiskinan melalui Pendidikan.

Melihat kedaifan sekolah ini, mereka berusaha untuk membantu dan mendapatkan bantuan untuk sekolah ini dari wakil rakyat, kerajaan negeri bahkan juga kerajaan pusat.

Bantuan utama yang mereka fokus adalah mendapatkan bekalan elektrik ke sekolah ini. Memandangkan ia jauh di pendalaman, hampir mustahil untuk membolehkan mereka mendapat bekalan elektrik itu.

Lalu mereka berusaha mendapatkan bekal elektrik dari tenaga solar. Pelbagai pihak berjanji akan membantu. Namun selepas tiga tahun, apabila mereka datang lagi  ke SK Babalitan pada 21 Ogos 2023 lalu, keadaan kekal tidak berubah.

Bahkan cerita sedih Rozaliani yang mereka dengar.

“Saya sudah bercakap dengan pelbagai pihak agar sekolah ini dibantu termasuk bantuan tenaga solar ini. Tetapi selepas empat tahun tidak ada apa-apa perubahan yang berlaku,” cerita Lin Yee, salah seorang aktivis yang datang buat kali kedua ke SK Balalitan ini.

Beliau memohon semua pihak termasuk Menteri Pelajaran Fazlina Sidek memberikan perhatian kepada sekolah-sekolah pendalaman ini kerana mereka juga mempunyai hak untuk maju dan mendapat pendidikan yang setara dengan kemudahan asas yang cukup.

 

BACA JUGA Zahid ajak Umno sekat kemaraan Pas ke Johor

COMMENTS

Wordpress (0)