KKDW peruntuk lebih RM2.6 juta untuk program Santuni Rakyat di Sebangan

KKDW peruntuk lebih RM2.6 juta untuk program Santuni Rakyat di Sebangan

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan RM2.613 juta menerusi geran dan bantuan pada program Santuni Rakyat di Sebangan, Sarawak, hari ini.

Jabatan Penerangan Sarawak dalam satu hantaran di Facebook rasminya memaklumkan, bantuan dan kemudahan kewangan itu adalah di bawah program yang dilaksanakan KKDW dan agensi di bawahnya dan telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan (SK) Hj Bujang Sebangan.

”Antara bantuan yang diperuntukkan menerusi Felcra Berhad adalah 12 projek Perlengkapan Kampung: Ameniti Sosial berjumlah RM1,580,000, empat Projek Perlengkapan Kampung: Premis Perniagaan bernilai RM120,000 dan dua projek di bawah Program Pembangunan Kelestarian dan Kemampanan Infrastruktur Pelancongan Desa.

”Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah menyerahkan RM10,000 secara ‘one off’ menerusi Yayasan Pelajaran MARA berbentuk wang tunai RM100 seorang kepada 100 pelajar keluarga B40 daripada SK Haji Bujang, Sebangan.

”Selain itu, MARA juga menyalurkan kemudahan Pembiayaan Perniagaan sebanyak RM458,000 kepada dua penerima Skim Mudah Jaya (SpiM), seorang penerima Skim Pembiayaan Kontrak Ekspress (SpiKE) dan seorang penerima surat tawaran pembiayaan perniagaan bagi Skim SPiKE,” maklum kenyataan itu, hari ini.

Santuni Rakyat

Program Santuni Rakyat itu diadakan bertujuan mengeratkan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat melalui program kemasyarakatan, inisiatif dan bantuan langsung kepada masyarakat dalam usaha mewujudkan kesejahteraan yang lebih baik bagi seluruh komuniti luar bandar dan mengurangi kesenjangan sosial.

Turut hadir, Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang; Menteri Utiliti dan Komunikasi Sarawak juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Datuk Julaihi Nurawi; Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr Hazland Abang Hipni; Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Seri Ramlan Harun, Pengerusi FELCRA Berhad Datuk Ahmad Jazlan Yakkub dan Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli.

Dalam majlis itu, MARA turut menyerahkan sebanyak RM255,000 untuk Bantuan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bertujuan membaik pulih rumah dan bakul makanan.

“Ia dibuat melalui serahan plak dan bakul makanan sebagai simbolik pemberian bantuan rumah baik pulih kepada 15 penerima dari daerah Sebuyau, melibatkan peruntukan sebanyak RM17,000 setiap rumah.

“Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) pula memberi geran berjumlah RM10,000 untuk kursus kemahiran ‘Quick Win’ Variasi Bun dan pastri kepada 10 peserta dan replika cek bantuan diserahkan oleh Ahmad Zahid sendiri,” kata jabatan tersebut.

COMMENTS

Wordpress (0)