KKM siasat dakwaan pegawai jumpa individu ada kaitan industri tembakau

Kementerian Kesihatan (KKM) memandang serius mengenai dakwaan terdapat pegawai kanannya mengadakan pertemuan dengan individu yang mempunyai kaitan dengan industri tembakau, kata Timbalan Ketua Pengarahnya (Kesihatan Awam).

Datuk Dr Norhayati Rusli berkata hasil awal siasatan terhadap dakwaan tersebut mendapati dua pegawai KKM telah dikunjungi dua individu yang memperkenalkan diri mereka sebagai pemilik basikal Putrajaya dan syarikat pencetakan.

“Tujuan perjumpaan adalah untuk membincangkan cadangan untuk mengadakan program intervensi pengurangan berat badan namun tiada sebarang persetujuan dibuat semasa perbincangan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

DR NORHAYATI RUSLI

Dr Norhayati berkata kementerian mengambil maklum kenyataan Majlis Kawalan Tembakau Malaysia berhubung isu dua pegawai kanan kementerian dikatakan bertemu dengan industri tembakau yang didakwa telah melanggar Artikel 5.3 Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO FCTC).

Jelasnya Artikel 5.3 WHO FCTC menetapkan agar Malaysia sebagai negara anggota perlu melaksanakan dasar kesihatan awam berkenaan kawalan tembakau serta melindungi dasar tersebut daripada kepentingan komersial dan industri itu berlandaskan undang-undang negara.

Jelasnya artikel itu juga telah menetapkan satu garis panduan pelaksanaan di mana langkah kawalan mesti diwujudkan antaranya mengehadkan sebarang interaksi bersama industri tembakau dan memastikan ketelusan.

Katanya langkah kawalan juga membabitkan penolakan perkongsian dan perjanjian bersama industri tembakau serta mengelakkan konflik kepentingan bagi pegawai dan kakitangan kerajaan.

“Sebagai anggota WHO FCTC sejak 16 September 2005, KKM sentiasa memastikan sebarang interaksi bersama industri tembakau adalah mematuhi garis panduan Artikel 5.3.

“Polisi-polisi berkaitan yang juga dirujuk adalah seperti polisi pengurusan percanggahan kepentingan, antirasuah, pengurusan hadiah, pengurusan pengaruh luar, surat sokongan, kod etika dan tatakelakuan,” kata beliau.