KKR komited rancakkan digitalisasi sektor pembinaan

KKR komited rancakkan digitalisasi sektor pembinaan

Kementerian Kerja Raya (KKR) akan terus merancakkan digitalisasi sektor pembinaan bagi mempercepat penggunaan teknologi melalui Dasar Pembinaan Negara 2030 (NCP 2030) yang menjadi tonggak untuk mengadaptasi teknologi terkini.

Menteri Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, dasar tersebut menjadi rujukan bagi mempercepat adaptasi teknologi sektor pembinaan bertujuan untuk membantu Malaysia mencapai pertumbuhan yang mampan demi manfaat masyarakat terbilang.

“Antaranya, KKR akan terus menggiatkan adaptasi teknologi Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) sebagai pemangkin bagi merancakkan kepesatan sektor pembinaan di Malaysia.

“Banyak manfaat dan kesan positif jangka panjang akan terhasil dari penggunaan teknologi ini dalam kitaran hayat industri pembinaan dan ianya bukan sahaja dapat dilihat dari pengurangan pembaziran malah menyumbang kepada pengoptimuman dan kecekapan amalan pembinaan yang lebih produktif dan efektif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 membabitkan kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menambah inisiatif berkenaan juga bakal mewujudkan peluang-peluang baharu dan nilai tambah dalam industri pembinaan serta komponen sistem binaan berindustri (IBS).

Malah katanya, ia membantu meningkatkan peluang tenaga kerja di negara ini serta mengurangkan kebergantungan kepada guna tenaga asing melalui pengukuhan kompetensi dan adaptasi teknologi.

Selain itu beliau turut menggalakkan pengguna jalan raya memuatturun MyJalan KKR yang akan memudahkan pengguna jalan raya membuat laporan berkaitan kerosakan jalanraya.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )