KL-Manila sepakat tingkat pelaburan, bincang keamanan wilayah Mindanao – PM
Malaysia dan Filipina bersetuju untuk mempertingkat pertukaran pelaburan dengan tumpuan melibatkan industri halal, keterjaminan makanan, pertanian selain ekonomi digital.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau dan Presiden Ferdinand Marcos Jr. juga melanjutkan perbincangan terutamanya dalam mempererat hubungan antara rakyat kedua-dua negara dan pengukuhan budaya serta sektor pelancongan.
“Kami turut menyentuh perihal di Myanmar di mana kami menekankan peri penting mencapai jalan keluar dari konflik di sana.
“Mencapai kestabilan dan keamanan yang mampan serta inklusif di wilayah Mindanao turut menjadi antara agenda perbincangan antara Malaysia dan Filipina,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Anwar dalam rangka lawatan rasmi selama dua hari ke Manila bermula Rabu. Hadir sama isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Malaysia dan Filipina akan mengukuhkan lagi hubungan menerusi pelbagai kerjasama sekaligus memantapkan rencana pembangunan di antara kedua-dua negara, kata Anwar.
Terdahulu Anwar mengadakan pertemuan bersama Presiden Filipina di Istana Malacanang.
Ia merupakan pertemuan bersemuka sulung antara Anwar dan Marcos selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada tahun lalu.
Terdahulu, ketibaan Anwar dan Dr. Wan Azizah di Istana Malacanang disambut Marcos dan Wanita Pertama Filipina, Marie Louise Araneta Marcos.
Anwar yang memakai baju batik dan bersongkok diberikan sambutan permaidani merah oleh pemimpin Filipina itu.
Setelah lagu kebangsaan Malaysia Negaraku dan Filipina dimainkan, diikuti 19 das tembakan hormat, Anwar dengan diiringi Marcos memeriksa kawalan kehormatan 165 angkatan tentera Filipina.
BACA JUGA: Anwar tiba di Manila untuk lawatan rasmi dua hari, erat hubungan Malaysia-Filipina