Kod etika perlu dirangka, rujukan jelas KKM bersama wakil industri tembakau

Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) mengalu-alukan tindakan segera Kementerian Kesihatan (KKM) menyiasat isu dakwaan beberapa pegawai kanannya menerima kunjungan wakil industri tembakau.

Bagaimananapun, majlis itu berkata pihaknya sentiasa berwaspada terhadap usaha untuk mengelirukan pegawai kementerian dan memperlihatkan mereka seolah-olah menyokong aktiviti pro-tembakau.

“MCTC menerima maklum balas bahawa kementerian bahawa tidak berniat untuk melanggar Perkara 5.3 Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai Kawalan Tembakau (FCTC) dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai yang melanggar Perkara 5.3 dan dasar berkaitan.

“Sebagai penyokong kuat KKM dalam usaha kawalan tembakau selama beberapa dekad, MCTC sentiasa bersama kerajaan dan Kementerian Kesihatan dalam menjaga kesihatan semua rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Kenyataan itu berkata meskipun individu yang berjumpa pegawai kanannya telah memperkenalkan diri sebagai wakil ssyarikat basikal dan percetakan, salah seorang daripada mereka ialah pemegang jawatan dalam organisasi produk tembakau selain muncul dalam pelbagai acara media.

“Ia mungkin naif untuk menganggap bahawa walaupun individu ini mengaku hadir untuk mesyuarat mengenai cadangan program penurunan berat badan yang sepatutnya; berita tentang pertemuan sedemikian boleh digunakan sebagai sokongan palsu untuk industri,” katanya.

Malah kata kenyataan itu, strategi mencadangkan program penurunan berat badan bersama dengan produk tembakau adalah strategi yang digunakan selama beberapa dekad.

“Kebanyakan strategi ini telah didokumenkan secara komprehensif dalam laporan Gangguan Industri Tembakau WHO terhadap Kawalan Tembakau.

Kata kenyataan itu, sempena sambutan Hari Kanser Sedunia pada 3 Februari lalu, Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni dengan tegas menyatakan bahawa kerajaan akan terus bergerak ke hadapan untuk membentangkan Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 pada tahun ini.

“MCTC dapat menjangkakan sepenuhnya bahawa akan ada usaha campur tangan daripada pelbagai pihak melalui pelbagai strategi yang berbeza.

“Kami menyambut baik kenyataan dan tindakan tegas Kementerian Kesihatan serta mengemukakan cadangan supaya kerajaan segera merangka dan melaksanakan kod etika untuk semua pegawai awam bagi memastikan pematuhan mereka kepada Artikel 5.3 WHO FCTC,” katanya.

Kenyataan itu berkata, kod etika yang telah diterapkan di banyak negara memberikan rujukan yang jelas tentang syarat membabitkan semua pegawai awam dalam berurusan dengan wakil industri tembakau atau produk tembakau.

“Malaysia harus mengetuai usaha ini untuk memastikan semua pegawai awam di seluruh kerajaan dimaklumkan tentang tata kelakuan sedemikian apabila ia dilaksanakan dan untuk memastikan ia dipatuhi,” katanya sambil menyatakan MCTC akan terus memainkan peranannya untuk mendidik orang ramai mengenai pelbagai aspek kawalan tembakau.

BACA JUGA: KKM siasat dakwaan pegawai jumpa individu ada kaitan industri tembakau