
Kongsi gambar blok kerajaan kosong, Akmal Nasir tepis Radzi Jidin
Ciapan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin yang memuat naik gambar blok menteri dan timbalan menteri kosong ketika sidang Dewan Rakyat berlangsung malam tadi, menarik perhatian seorang Ahli Parlimen kerajaan.
Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir menepis persepsi yang cuba dimainkan sambil mengatakan Radzi hanya tergesa-gesa masuk pada jam 8 malam untuk mengambil gambar blok kerajaan yang kosong.
Akmal yang juga Timbalan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan berkata, beliau sendiri menghadiri sidang Dewan di sebelah malam, namun tidak pula Radzi berkongsi gambar tersebut.
“Semalam, saya berada dalam Dewan dari jam 4 petang, keluar dua kali untuk solat Asar dan solat Maghrib.
“Saya perhati YB Putrajaya hanya tergesa masuk dalam pukul 8 malam. Beberapa kali dia angkat handphone ambil gambar.
“Mungkin gambar waktu saya ada dia tak nak kongsi,” kata Akmal.
Semalam, Radzi menerusi ciapan di laman X memuat naik gambar kerusi menteri dan timbalan menteri yang kosong dan mengatakan niatnya berkongsi adalah ikhlas sebagai tanda ingatan kepada kerajaan.
Ini kerana katanya, ketika Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan, pembangkang ketika itu gemar menjadikan isu apabila kerusi menteri kosong ketika sidang Dewan berlangsung.
“Hari ini, Dewan Rakyat bersidang sehingga ke malam. Gambar blok Menteri dan Timbalan Menteri ini saya ambil pada jam 8.17 malam.
“Saya yakin setiap daripada mereka ada urusan tertentu menyebabkan mereka tidak dapat hadir malam ini.
“Jika sewaktu mereka berada di sebelah pembangkang, kekosongan di sebelah blok Menteri dan Timbalan Menteri dijadikan isu untuk mengherdik kerajaan,” ciapnya.
Bagaimanapun, ada yang mengingatkan Radzi, ketika Tan Sri Mahiaddin Md Yasin menjadi Perdana Menteri, Parlimen ditutup dan tidak pernah bersidang.
BACA JUGA Selepas gagal mainkan isu azan, penyokong Pas cuba ‘serang’ guna isu LRT