
Konsert Coldplay: PM akan bincang dengan mufti
Kerajaan akan berbincang dengan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah berhubung desakan beberapa pihak untuk membantah konsert kumpulan muzik antarabangsa, Coldplay yang dijadual akan diadakan esok.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain bantahan, beliau menerima beberapa pandangan yang mempersoal mengapa persembahan dari kumpulan menyokong perjuangan Palestin itu perlu dihalang.
“Coldplay ini adalah kumpulan yang sokong Palestin. Kerajaan yang lalu telah luluskan juga.
“Jadi saya akan bincang dengan mufti apakah keadaan ini kerana ada pelobi-pelobi dari gerakan palestin yang menyokong, dan memberikan pandangan kepada menteri luar dan pejabat saya, mengatakan mengapa dihalang kumpulan yang menyokong perjuangan Palestin palestin daripada meneruskan pertunjukan.
“Tetapi oleh kerana perkara ini dibangkitkan kerana ada beberapa isu lain yang kita tidak setuju, itu kita akan bincang semula,” katanya ketika sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengenai pendirian kerajaan berhubung penganjuran konsert Coldplay dan semua persembahan konsert lain.
Coldplay yang juga kumpulan muzik terkemuka dari United Kingdom (UK) mempunyai sejarah yang panjang dalam menyokong Palestin dan menentang pencerobohan Israel.
kumpulan itu menyebarkan mesej progresif dalam muzik menerusi ciptaan lagu yang mempromosikan kedamaian di Timur Tengah seperti Everyday Life in Jordan, Guns, Arabeques dan pernah menampilkan lagu Freedom For Palestine.
Namun Coldplay juga agak ditentang di negara ini kerana band tersebut menyokong kumpulan LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender).