Kos Aidilfitri Malaysia Madani RM6.3 juta, Raya 2022 RM11 juta
Kos Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani yang dikendalikan oleh Jabatan Perdana Menteri hanya bernilai RM6.3 juta.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas, Datuk Armizan Mohd Ali, sebahagian besar dari jumlah tersebut dibelanjakan di Kedah.
Berikut adalah pecahan kos yang dibelanjakan:
a. Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani Kedah sebanyak RM3.1 juta.
b. Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani Kelantan sebanyak RM1.5 juta.
c. Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani Terengganu sebanyak RM1.5 juta.
Dalam jawapan bertulis kepada Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas), beliau berkata peruntukan rumah terbuka menerusi oleh JPM hanya melibatkan tiga negeri tersebut.
Kehadiran masyarakat paling banyak di Kedah iaitu seramai 25,000 pengunjung dan diikuti oleh Kelantan dan Terengganu yang masing – masing mendapat 15,000 hadirin.
Kos perbelanjaan adalah lebih rendah berbanding dengan penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri di Putrajaya pada tahun lalu yang menelan belanja RM11 juta dengan kehadiran 70,000 orang.
Armizan turut menyatakan kos penganjuran telah dikurangkan dengan kerjasama dalam kalangan kementerian dan jabatan persekutuan dengan kerajaan negeri.
Di samping itu, penganjuran acara ini memberi peluang kepada peniaga kecil untuk menjana ekonomi.