KPDN panggil Touch n’ Go, kad prabayar tidak berfungsi di tol, pengangkutan awam

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)  akan meneliti dengan serius isu kad prabayar Visa Touch n’ Go yang dilaporkan tidak dapat digunakan di plaza tol dan pengangkutan awam.

Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata pihaknya telah menerima banyak aduan berkenaan perkara tersebut dan maklumkannya kepada Bahagian Penguat Kuasa kementerian.

“Pihak penguat kuasa akan memanggil Touch n’ Go untuk hadir dan memberi penjelasan kepada KPDN esok pagi.

“Saya sentiasa peka dalam menerima aduan pengguna dan mengharapkan agar kerjasama antara KPDN and TnG boleh menyelesaikan aduan ini dengan segera,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau mengulas laporan akhbar mengenai rungutan orang ramai terhadap kemudahan kad prabayar Visa Touch n’ Go eWallet yang dilancarkan secara rasmi semalam sebenarnya tidak dapat digunakan di terminal pembayaran Touch n’ Go sendiri seperti tol, tempat letak kenderaan dan pengangkutan awam.

Melalui kad prabayar Visa, pengguna Touch n Go eWallet boleh melaksanakan pelbagai jenis pembayaran termasuk bayaran tanpa sentuh Paywave.

Kad prabyar yang dilancar tersebut menggunakan karya Damien Wong, seorang pelukis daripada United Voice yang menghidap autisme.

Rekaan ini adalah berdasarkan lukisannya yang menggabungkan hamburan warna biru, hijau dan kuning, memperlihatkan pandangan Damien terhadap dunia.

Kad Visa Touch n’ Go itu merupakan kad pertama tanpa nombor dicetak padanya menyatakan tahap keselamatan lebih tinggi dan mengelakkan berlaku penipuan.

Semua angka pada kad tersebut boleh disemak menerusi aplikasi Touch n Go eWallet untuk sebarang transaksi atas talian atau yang memerlukan nombor kad.

Kad prabayar Visa itu boleh digunakan di lebih 80 juta peniaga yang menerima Visa serta ATM di seluruh dunia.

Buat masa ini kad Visa Touch n Go ditawarkan secara percuma namun pemohon perlu membayar kos penghantaran RM5.

Kad tersebut mempunyai had penggunaan sebanyak RM5,000 sehari.

BACA JUGA: KPDN perkenal inisiatif ‘Rahmah’, ‘Suri’ bantu pengguna, peniaga