KPDN perkenal inisiatif ‘Rahmah’, ‘Suri’ bantu pengguna, peniaga

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan berusaha secukupnya bagi memastikan rakyat mendapat bekalan keperluan harian dengan harga patut dan memastikan barang keperluan mencukupi.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata demikian dalam ucapan Amanat Tahun Baharu 2023 bertajuk “Mendepani Cabaran Inflasi Dan Kos Sara Hidup” di KPDN Putrajaya tengah hari tadi.

Dalam ucapan itu, Salahuddin mengingatkan bahawa negara akan menghadapi ekonomi yang lebih buruk pada tahun ini berdasarkan jangkaan pakar ekonomi dunia.

Katanya, KPDN harus mencari solusi dari sudut bekalan yang mencukupi dan harga barang yang munasabah dan adil.

“Inisiatif kita lalukan adalah perkenalkan jenama Rahmah atau Payung Rahmah yang meliputi bakul Rahmah, Jualan Rahmah, Kafe Rahmah dan Pakej Rahmah yang merupakan program bantuan kepada golongan berpendapatan rendah dengan kerjasama rakan strategik KPDN.

“Juga inisiatif berjenama Suri yang meliputi Rezeki Suri dan Aduan Suri bagi membantu golongan suri rumah menjana pendapatan dan memudah serta mempercepatkan suri rumah mengemukakan aduan kepada KPDN melalui QR Code,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, Salahudin berkata pelaksanaan harga munasabah atau adil dilakukan berdasarkan data data harga daripada seluruh negara bagi menambah keanjalan di bahagian permintaan, dalam usaha mengawal inflasi.

“Saya telah mengarahkan Kementerian supaya mengkaji kebolehlaksanaan dan memperincikan ‘Sistem Perlindungan Sosial Baharu’ yang komprehensif bagi membantu dalam pemberian subsidi secara lebih tepat dan bersasar bagi memastikan kebolehmampuan rakyat berbelanja keperluan asas,” katanya.

Ahli parlimen Pulai itu turut mengumumkan penubuhan Tabung Amanah Pembangunan Peruncitan Bumiputera (APB) yang akan membantu membangunkan peniaga peniaga runcit Bumiputera kerana pada waktu ini sektor berkenaan dikuasai oleh bukan Bumiputera.

“Saya ingin berkongsi satu lagi inisiatif Kementerian yang akan mula dilaksanakan pada tahun 2023 iaitu APB.

“Ianya ditubuhkan selaras dengan penambahbaikan syarat milikan 30% ekuiti bumiputera di bawah format pasaraya besar (hypermarket) dalam Garis Panduan Penyertaan Asing Dalam Sektor Perdagangan Pengedaran 2020 (GP 2020)

“Inisiatif ini merupakan pemudahcara dan alternatif kepada pasaraya asing yang gagal memenuhi syarat 30% ekuiti Bumiputera untuk terus beroperasi di Malaysia dengan menggantikan ekuiti Bumiputera tersebut melalui sumbangan kepada APB,” katanya.

Menurut beliau lagi, dana sumbangan yang diterima dari APB tersebut seterusnya akan digunakan semula untuk membangunkan ekonomi Bumiputera secara lebih holistik melalui pembangunan kapasiti dan latihan, pembelian aset strategik, peningkatan pendigitalan dan teknologi, promosi barangan tempatan serta bimbingan kepada usahawan Bumiputera.

BACA JUGA PN gagal sebagai pembangkang yang konstruktif