KPKT kenal pasti 436 projek perumahan sakit sehingga Februari

Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya mengenal pasti sebanyak 436 daripada keseluruhan 3,117 projek perumahan swasta berlesen dikategorikan sebagai sakit setakat 28 Februari lalu.

Timbalan Menterinya Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, jumlah itu menunjukkan sedikit pengurangan projek sakit berbanding yang direkodkan pada Januari tahun ini.

Beliau berkata daripada keseluruhan jumlah tersebut, sebanyak 20 projek perumahan swasta sakit (1,784 unit rumah) berjaya diselesaikan sehingga menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

“Sebanyak enam projek lagi dipantau dengan rapi sehingga daripada sakit dah jadi lancar balik.

“Ini merupakan pencapaian positif sejak penubuhan pasukan petugas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Akmal berkata unjuran projek perumahan lewat dijangka terus meningkat dengan statistik terkini pertambahan sebanyak 181 projek lewat.

Keadaan itu katanya menjadikan projek perumahan swasta berstatus lewat berakhir tahun 2023 adalah sebanyak 326 projek.

Sementara itu, kata beliau unjuran bagi projek sakit adalah sebanyak 282 projek menjadikan projek perumahan swasta berstatus sakit berakhir tahun 2023 adalah sebanyak 718 projek.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan lima projek terbengkalai berjaya dikeluarkan daripada senarai projek terbengkalai setakat ini melibatkan Dolomite Park Avenue dan Casa Melati masing-masing di Gombak dan Taman Petaling Utama, Selangor.

Selain itu, dua lagi projek terbengkalai yang berjaya dipulihkan melibatkan Pantai Avenue Bukit Kerinchi, Kuala Lumpur dan Lot 5918-5927, Mukim Bukit Besar, Kuala Terengganu, katanya.

“Ini menjadikan status terkini projek perumahan swasta terbengkalai adalah sebanyak 110 projek yang melibatkan 23,563 unit rumah dan 13,931 pembeli.

“Antara kaedah pemulihan yang dilaksanakan oleh kementerian adalah memastikan penyiapan projek sehingga memperoleh CCC, penyelesaian pembeli dan penukaran pemajuan,” jelasnya.

BACA JUGA: Parlimen: Lebih 3,200 unit PPR siap dibina di Kelantan, bantu B40 miliki rumah