KPM bakal naikkan kadar bantuan makanan prasekolah

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan terus memberikan komitmen bagi memperkasakan pendidikan prasekolah di negara ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya sedang dalam usaha untuk menaikkan kadar bantuan makanan prasekolah di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Jelasnya, kadar makanan prasekolah pada masa ini berharga RM2 kepada RM2.50 di Semenanjung dan dari RM2.25 kepada RM2.75 bagi Sabah dan Sarawak.

Beliau menegaskan bahawa pendidikan prasekolah perlu diberikan perhatian khusus dan prasekolah yang sedia ada perlu diperkasakan.

“Untuk tahun 2023, KPM telah mencadangkan sebanyak 118 buah peluasan kelas prasekolah untuk beroperasi di seluruh negara termasuk di kawasan miskin bandar.

“KPM komited untuk menambah bilangan kelas prasekolah pada setiap tahun,” katanya pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 Menteri Pendidikan di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, tumpuan turut diberikan kepada usaha untuk ubah suai dan naik taraf bangunan sekolah.

“KPM juga turut meningkatkan bilangan projek pembangunan yang dimohon melalui Unit Perancang Ekonomi (UPE).

“Ini adalah bagi membolehkan bangunan tambahan dapat dibina yang merangkumi bilik darjah,” katanya lagi.

Fadlina turut menyatakan bahawa semua murid termasuk murid berkeperluan khas (MBPK) turut berhak untuk mendapatkan pendidikan.

Pada masa yang sama, beliau juga sedang meneliti dan memperinci bagi mempertimbangkan cadangan peluasan pendidikan wajib pada peringkat sekolah menengah.

“Ini adalah kesinambungan kepada sekolah model khas K9 sedia ada.

“Sekolah model khas K11 dicadangkan sebagai satu inisiatif untuk memberikan akses pendidikan yang lebih menyeluruh dari peringkat rendah hingga menengah selama 11 tahun iaitu daripada tahun satu hingga tingkatan lima,” ujarnya lagi.

Beliau turut berharap agar pegawai kementerian, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dapat bersama-sama bergerak dan diberdayakan sebagai pemikir dan pemimpin perubahan yang dapat memberikan sokongan dan bantuan kepada pihak pelaksana.