KS Jomo: Pelantikan Nurul tidak sempurna tetapi beliau berkebolehan

Pakar ekonomi KS Jomo mempertahankan pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat kanan kewangan dan ekonomi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berdasarkan kepada keupayaan dan kebolehan Nurul meskipun pelantikan tersebut tidak sempurna.

“Reaksi kepada pelantikan adalah tidak wajar. Di dunia ideal, saya tidak akan menyokong ini tetapi beliau mempunyai kebolehan yang tidak ramai ada,” kata Jomo dalam satu termuramah dengan akhbar bahasa Inggeris, The Edge, semalam.

“Salah satu kritikan terhadap beliau sebagai seorang ahli politik ialah beliau terlibat dalam memperbaharui program pembangunan terutamanya yang berkaitan kebajikan rakyat seperti bantuan untuk ibu tunggal. Program sebegini tidak membantu beliau dari sudut politik tetapi ia menunjukkan beliau arif mengenai apa yang berlaku dalam dunia pembangunan.”

Pendedahan Nurul mengenai pelantikan ini yang berkuatkuasa sejak 3 Januari di dalam akhbar berbahasa Inggeris, The Star telah mengundang kecaman dari pembangkang dan pelbagai pihak lain yang melihat pelantikan tersebut sebagai amalan nepotisme. Nepotisme ialah amalan mengutamakan ahli keluarga.

Selain hujah hubungan kekeluargaan yang digunakan oleh pengkritik, Jomo berhujah bahawa pengkritik turut menunjukkan bahawa mereka tidak lantang mengkritik apabila perkara di atas berlaku kepada ahli politik lelaki.

“Saya rasa, orang rasa beliau tidak mempunyai pandangan sendiri kerana beliau seorang wanita. Ia tidak disebutkan secara tersurat tetapi ia tersirat.”

Nurul mendapat ijazah pertama dalam bidang kejuruteraan dari universiti swasta tempatan dan diikuti dengan ijazah sarjana dalam bidang dasar sosial dan awam dari Universiti Johns Hopkins di Amerika Syarikat.

Pemimpin kanan DAP M Kulasegaran turut mempertahankan pelantikan Nurul sebagai penasihat

Dalam perkembangan berkaitan, ahli parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran turut mempertahankan pelantikan Nurul atas alasan bahawa kerajaan pimpinan Anwar mewarisi hutang dari pentabiran kerajaan Perikatan Nasional berjumlah RM1.5 trilion.

Dalam keadaan ini sokongan semua pihak diperlukan untuk menghapuskan hutang yang diibaratkan sebagai bencana.

“Nurul Izzah melakukan perkara ini tanpa gaji. Marilah menyokong kerajaan untuk menyahkan bencana peninggalan kerajaan terdahulu,” ciap Kula yang juga merupakan naib pengerusi kebangsaan parti DAP.

BACA JUGA: Pengalaman Nurul Izzah di PAC diperlukan

Izzah tiada kuasa, hanya beri maklum balas kepada PM sahaja