Kuala Pilah rangkul PBT terbaik

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengucapkan tahniah kepada Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) yang menerima pengiktirafan lima bintang dalam Sistem Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan (SPB-PBT) Tahun 2022.

Aminuddin berkata, MDKP berada di kedudukan ke-39 terbaik daripada 153 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Malah, MDKP ujarnya, turut menerima Anugerah PBT Terbaik Daerah (Kriteria Penyertaan Komuniti dan Pandangan Penduduk) dalam sistem penarafan yang sama.

“MDKP juga berada di kedudukan keenam bagi majlis daerah seluruh negara serta meraih tempat pertama bagi PBT di negeri ini.

“Justeru, saya ucapkan tahniah kepada MDKP atas anugerah yang amat membanggakan ini,” tulisnya beliau dalam laman facebook rasminya, semalam.

Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan berharap dengan penganugerahan sedemikian ia akan menjadi pembakar semangat untuk PBT yang lain memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Untuk rekod, MDKP menerima pengiktirafan tersebut daripada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Selain itu, kerajaan negeri pimpinan Aminuddin telah diberikan mandat bermula 9 Mei 2018 dengan pelbagai siri kejayaan dilakar.

Antara kejayaan dilakar adalah pengiktirafan Tampin sebagai Bandar Paling Bahagia 2021 di negara ini oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Malaysia (PLANMalaysia).

BACA JUGA Bandar Paling Bahagia: Bukti PH Negeri Sembilan peduli segenap lapisan rakyat