‘Kunjungan muhibbah’ timbalan menteri beri impak besar sistem penyampaian

Pendekatan yang diambil oleh Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu turun ke bawah melihat sendiri bagaimana agensi di bawah kementeriannya beroperasi membawa impak tersendiri.

Lawatan yang beliau buat ini pula dibuat tanpa makluman kepada agensi berkaitan dan hasilnya dilaporkan kepada pihak atasan kementerian termasuk menteri dan juga Ketua Setiausaha Kementerian.

Dengan cara itu, beliau mendapat maklumat sebenar apa yang berlaku di pejabat barisan depan kementeriannya.

Hasilnya, tindakan susulan segera diambil oleh pihak kementerian bagi menyelesaikan masalah yang dibangkitkan.

Pada 9 Januari lepas misalnya, Aiman Athirah telah membuat lawatan muhibbah ke Pejabat Kebajikan Daerah (PKD) Petaling, di Selangor.

Dalam posting yang dibuat oleh PKD Petaling itu, Aiman melawat mereka pada 9 Januari jam 4.30 petang.

“Terima kasih kepada YB Puan Hajah Aiman Athirah binti Sabu, Timbalan Menteri KPWKM atas kesudian meluangkan masa melawat Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Petaling.

“Turut diadakan adalah sesi taklimat ringkas, sesi ramah mesra dan bertukar pandangan. Semoga lawatan ini menyuntik semangat dan motivasi untuk warga kerja PKMD Petaling terus komited berkhidmat di tahun 2023 ini.

“Turut hadir bersama adalah Tuan Mohamad Razuki bin Sibi, Timbalan Pengarah, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor,” tulis PKD Petaling dalam posting mereka.

Yang menariknya, semalam, PKD Petaling telah membuat naik satu lagi posting, “Sessi lawatan mengejut Menteri.” yang dibuat empat hari sahaja selepas Timbalan Menteri Aiman mengunjungi pejabat kebajikan yang berhubung terus dengan masyarakat ini.

Selepas empat hari Timbalan Menteri membuat kunjungan muhibbah, Menteri dan KSU pula turun ke PKD Petaling.

“Sesi lawatan mengejut YB Menteri KPWKM, Datuk Sri Hajah Nancy Shukri bersama Ketua Setiausaha KPWKM YBhg. Datuk Dr. Maziah binti Che Yusoff, dan Ketua Pengarah JKM YBhg. Datuk Shaharuddin bin Abu Sohot pada 13 Januari 2023, sekitar 3:45 petang – 4:15 petang.

“Lawatan tersebut diadakan bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai aduan klien berkaitan aspek penyampaian perkhidmatan bantuan kebajikan.

“Terima kasih diucapkan kepada YBM, KSU dan KPKM yang memberi nasihat, semangat dan dorongan agar warga kerja PKMD Petaling sentiasa memperbaiki dan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada semua kumpulan sasar Jabatan,” tulis PKD Petaling dalam posting di Facebook mereka.