
Kutuk “keganasan Hamas”, Starbucks saman kesatuan pekerja sokong Palestin
Rangkaian kafe kopi Starbucks memfailkan saman terhadap kesatuan pekerja Starbucks Workers United gara-gara menzahirkan sokongan kepada rakyat Palestin di platform X.
Starbucks yang dimajukan oleh Howard Schultz, seorang Yahudi dari Amerika Syarikat (AS) itu berbuat demikian selepas kiriman pro-Palestin yang dikongsi oleh akaun kesatuan itu pada 9 Oktober lalu.
Pengurusan jenama kopi antarabangsa itu menganggap hantaran itu sebagai “merosakkan reputasi syarikat” di samping mengundang reaksi negatif pelanggan.
Menurut syarikat beribu pejabat di Seattle itu, pihaknya menerima lebih 1,000 aduan selain panggilan telefon bersifat ugutan.
Namun, kesatuan pekerja itu dalam saman balas difailkan di Pennsylvania berkata kiriman itu dimuat naik oleh ahlinya tanpa kebenaran.
Kesatuan pekerja terbabit menyifatkan Starbucks sengaja menggunakan insiden itu bagi menyerang pekerja yang terlibat dalam kesatuan.
Kiriman 9 Oktober di akaun X Starbucks Workers United itu berbunyi, “Solidariti bersama Palestin!”.
Turut disertakan gambar jentolak yang merobohkan dinding di sempadan Gaza dan Israel, dipercayai diambil ketika serangan Hamas pada 7 Oktober.
Kiriman itu bagaimanapun dipadam selepas 40 minit dimuatnaik, tetapi mendapat perkongsian meluas dalam kalangan kesatuan sekerja lain yang turut menyatakan sentimen pro-Palestin.
Bahkan, Starbucks dalam satu kenyataan menuduh kesatuan tersebut menyokong “keganasan yang dilakukan oleh Hamas”.
Naib Presiden Eksekutif Starbucks, Sara Kelly berkata syarikat itu “mengutuk sekeras-kerasnya terorisme, kebencian dan keganasan”.
Dia menegaskan bahawa pandangan ahli kesatuan itu langsung tidak mencerminkan pendirian Starbucks dalam isu konflik di Palestin.
Bertindak lebih jauh, pengurusan Starbucks turut menulis surat kepada Dewan Perniagaan Yahudi Ortodoks yang berpangkalan di New York.
Dalam surat itu, Starbucks mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pekerja yang “menyokong keganasan Hamas”.
BACA JUGA Keganasan Israel: Ini 20 fakta situasi getir Palestin selepas genosid hari ke-20