KWSP bukan cagaran, pencarum masih boleh disenarai hitam

Mana-mana pencarum yang membuat pembiayaan peribadi di bawah Program Fasiliti Sokongan Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masih boleh disenaraihitamkan jika mereka gagal membuat bayaran balik kepada pihak bank secara bulanan.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, KWSP bukan satu cagaran kepada peminjam, kerana ia tidak berlaku sedemikian.

Jelas Ahli Parlimen Pontian itu, KWSP hanya akan membuat bayaran kepada bank pencarum hanya ketika pencarum berusia 50 dan 55 tahun.

“Program Fasiliti Sokongan Akaun 2 ini yang dibuat oleh KWSP ialah program pembiayaan peribadi. Ianya bukanlah satu cagaran atau sandaran.

“Maka kita ingin nasihatkan ahli-ahli KWSP yang hanya perlu sahaja pinjam. Ahli-ahli KWSP yang boleh membayar sahaja yang meminjam. Jika kita tidak ada keperluan untuk meminjam, janganlah pinjam.

“Untuk pinjaman peribadi, kalau nak juga keluar, dia tidak dijamin oleh KWSP kalau dia tak bayar. Dia masih lagi boleh disenarai hitamkan,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Hassan Karim (PH-Pasir Gudang), yang bertanya adakah pencarum akan berdepan dengan kebankrapan jika mereka tidak membuat bayaran balik kepada bank selepas menjadikan KWSP sebagai “cagaran”.

Ahmad kemudiannya sekali lagi menegaskan bahawa KWSP bukan satu cagaran kerana ia sama sekali tidak menjamin pencarum yang gagal membuat bayaran balik kepada pihak bank.

“Umur 50 dan 55 tahun baru KWSP boleh dikeluarkan untuk dibayar pada bank jika mereka masih lagi tidak membayar.

“Sebelum (dari umur) itu, (KWSP) tak boleh (bayar pada bank). Itu sebab dia bukan cagaran,” kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu lagi.