Lagi pemimpin Bersatu dituduh rasuah, minta suapan RM500,000 projek bina jalan

Seorang lagi pemimpin Bersatu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah sejumlah RM500,000 membabitkan syarikat Jana Wibawa.

Adam Radhlan Adam Muhammad yang juga ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat memohon dibicara setelah pertuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di hadapan hakim Suzana Hussin pada Selasa, lapor Malaysiakini.

Bagi pertuduhan pertama, timbalan ketua bahagian Bersatu itu didakwa telah meminta suapan wang tunai sebanyak 3.5 peratus hingga tujuh peratus daripada nilai projek yang diperoleh daripada Pengarah Urusan Syarikat MIE Infrastruktur dan Energy Sdn Bhd, Mat Jusoh Mamat.

Ia sebagai dorongan untuk mendapat surat setuju terima bagi projek Jana Wibawa.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, Adam Radhlan dituduh menerima rasuah sebanyak RM500,000 daripada Mat Jusoh sebagai upah mendapatkan sebuah projek pembinaan jalan yang bernilai RM47.8  juta.

Beliau didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM  2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24 (1) Akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan

Hakim Suzana kemudian menetapkan Adam Radlan dibenar ikat jamin sebanyak RM120,000 berserta dua penjamin dan tertuduh juga perlu menyerahkan pasportnya sehingga kes selesai dibicarakan.

Hakim turut menetapkan supaya pemimpin Bersatu itu melaporkan diri kepada SPRM setiap bulan sehingga tarikh perbicaraan.

Suzana kemudian menetapkan tarikh sebutan kes pada 23 Mac ini.

Terdahulu Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan minta dibicarakan atas dakwaan menerima rasuah hampir RM7 juta berhubung inisiatif Jana Wibawa.

BACA JUGA: Wan Saiful didakwa terima rasuah RM6.9 juta Jana Wibawa