Laksana segera kempen Rukun Negara hadapi perkauman, takfiri

Kerajaan Selangor diminta mempercepatkan pelaksanaan kepada kempen Rukun Negara sebagaimana yang dinyatakan oleh Menteri Besar Datuk Seri Amiruddin Shari baru-baru ini bagi melawan kempen takfiri dan perkauman.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan berkata, memandangkan MB dan beliau sudah sepakat mengenai isu ini, “saya dengan ini mendesak agar semua pihak di bawah kerajaan negeri Selangor khasnya melaksanakan kempen Rukun Negara ini segera.

“Mari kita penuhkan Selangor dengan kempen ini agar semua rakyat sedar dan faham konsep dan prinsip Rukun Negara yang menjadi asas kepada negara ini,” kata beliau dalam satu kenyataan malam tadi.

Sany juga mencadangkan Kerajaan Pusat di bawah pimpinan YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengambil tindakan yang sama, membuat kempen agar semua pihak memahami erti Rukun Negara sebagaimana yang dititahkan oleh Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu.

“Saya yakin, Rukun Negara adalah sebahagian dari penawar untuk kita berhadapan dengan kempen takfiri, melampau dan perkauman yang digerakkan oleh sebuah parti politik semasa kempen pilihan raya umum ke 15 lalu.

“Saya bimbang, kempen ini akan berulang lagi semasa PRN enam buah negeri nanti dan orang ramai khasnya anak muda yang tidak faham dan tidak berpengalaman akan mudah terpengaruh dengan kempen itu sebagaimana mereka terkeliru dalam kempen PRU-15 lalu,” katanya.

Semalam Sany meminta kata putus samaada Selangor serius atau tidak tentang kempen Rukun Negara sebagaimana yang dicadangkan oleh Yang Dipertuan Agong.

“Selepas membuat kenyataan media mengenai Rukun Negara semalam, Sany telah ditunjukkan keratan perutusan YAB Menteri Besar Selangor yang dibuat awal tahun 2023 ini.

“Dalam perutusan itu, Menteri Besar Datuk Seri Amiruddin Shari telah menyebut secara khusus tentang Rukun Negara sebagaimana yang saya bangkitkan dalam Dewan Negeri Selangor hujung tahun lepas.

“Saya memohon maaf kepada YAB MB kerana terlepas pandang tentang perutusan itu dan terima kasih kerana memberikan perhatian mengenai isu Rukun Negara yang telah dititahkan oleh DYMM Yang Dipertuan Agong sebelum ini,” katanya yang juga Ahli Dewan Negeri Taman Templer.

 

BACA JUGA Kenapa kerajaan Selangor tidak endah cadangan kempen Rukun Negara?