‘Langkah Kinabalu’ gulingkan Hajiji tidak menjadi

‘Langkah Kinabalu’ panggilan kepada cubaan untuk menggulingkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor semalam tidak menjadi.

Sidang media berasingan daripada Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang dijadualkan dibatalkan.

Warisan pada jam 6.50 petang memaklumkan sidang Mohd Shafie ditangguhkan walaupun sesi itu dijadual berlangsung pada 4.30 petang.

Dalam masa sama, Bung Moktar pula selepas selesai mesyuarat pada jam 6.30 petang dilapor terus meninggalkan Bangunan Umno Sabah.

Reaksi Ahli Parlimen Kinabatangan itu kepada pemberita ketika disapa memberitahu hanya perjumpaan biasa bersama pemimpin Umno negeri.

Ekoran itu, dilaporkan Umno Sabah yang diketuai Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Pengerusi BN terpecah dua kem.

BH memetik sumber bahawa tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) pula tidak bersetuju dengan cubaan menukar Ketua Menteri.

Sebelum ini, khabar angin tersebar bahawa akan berlaku pertukaran kerajaan negeri melalui kerjasama dan BN dengan Mohd Shafie yang dikatakan bakal dilantik semula sebagai Ketua Menteri.

Dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan akhir tahun lalu, Hajiji mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menandatangani perjanjian persefahaman parti gabungan bersama PH, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Warisan.

Pada masa ini, kerajaan negeri Sabah yang sejajar dengan kerajaan Persekutuan diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disokong 29 ADUN GRS dan 17 ADUN BN.

Kerajaan GRS-BN dengan 46 kerusi itu turut disokong PH negeri yang memiliki tujuh ADUN, iaitu masing-masing empat DAP, PKR (2) dan seorang ADUN Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko).

Kerajaan negeri pimpinan Hajiji turut disokong tiga ADUN Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), seorang ADUN Bebas (Kuamut) dan seorang ADUN Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS).