Langkah London melalui Umno untuk jatuhkan kerajaan

Seorang ahli veteran Umno Datuk Seri Kamal Amir mendakwa langkah-langkah ke arah menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim besar kemungkinan sedang diusahakan dalam Umno.

Langkah yang dikenali sebagai Langkah London itu membabitkan kekalahan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Ini bermakna akan ada pertandingan untuk kerusi presiden dan timbalan presiden.

Perhimpunan Agung Umno bakal berlangsung pada 11 hingga 13 Januari.

“Yang pasti dua orang naib presiden Umno sedang bercuti di kota London. Mahiaddin dan kumpulannya juga berada di London,” kata Kamal yang merupakan tokoh veteran Umno.

Walau bagaimanapun, naib-naib presiden tersebut tidak dinamakan.

Ada tiga naib presiden ketika ini iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Khaled Nordin.

Khaled yang memegang portfolio pengajian tinggi ialah satu-satunya anggota Kabinet dalam kerajaan pimpinan Anwar.

Mengulas lanjut, Kamal berpendapat bahawa ini bukan kali pertama langkah sedemikian diusahakan.

Pemerhati politik itu berkata, ada juga usaha yang dijalankan sebelum ini yang dikenali sebagai Langkah Jakarta.

Usaha ini dilihat perlu oleh pihak lawan untuk menjatuhkan kerajaan tanpa melanggar pindaan perlembagaan yang mengharamkan anggota Parlimen melompat sepertimana yang berlaku dalam Langkah Sheraton.

Sementara itu, mantan ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Adam dalam siaran media sosialnya semalam mendakwa bahawa Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Hishamuddin Tun Hussein bakal bertanding kerusi Presiden Umno.

Lokman yang menyokong Ahmad Zahid mendakwa bahawa Hishamuddin gagal menunjukkan kepimpinannya tatkala Umno mengalami kekalahan dalam pilihan raya terdahulu.

Dia turut mendedahkan bahawa Hishamuddin merupakan tokoh yang terlibat dalam penghijrahan ahli Parlimen Umno ke Bersatu.

Lokman menyatakan bahawa laporan akan dibuat kepada Lembaga Disiplin Umno berkenaan perkara ini.

Dalam masa sama, gandingan Hishamuddin dalam pertandingan tersebut turut didedahkan iaitu Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Umum mengetahui bahawa hubungan di antara Ahmad Zahid dan Khairy dingin terutama ketika kempen PRU15.

Ahli Umno yang mahu bertanding untuk kerusi presiden dan timbalan presiden perlu menjadi ahli Majlis Tertinggi Umno sekurang-kurangnya selama satu penggal.

Kamal dan Lokman menerusi penerangan mereka ada menyebut bahawa pengumuman perdana menteri untuk membawa bekas menteri dan bekas perdana menteri ke muka pengadilan kerana ketirisan yang dilakukan mereka sebagai satu faktor di dalam usaha ini.