Langkah London vs Umno amal politik bersih

Teori Langkah London yang berpotensi menumbangkang Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi dan seterusnya Kerajaan Perpaduan sebagaimana jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan pada Februari 2020 terus diperkatakan pemerhati politik.

Meskipun tidak banyak fakta yang boleh mengaitkan perjumpaan pemimpin PN dan UMNO di London baru baru ini ke arah menubuhkan perikatan politik baharu namun topik Langkah London amat sensasi dibincangkan menjelang Pemilihan UMNO 2023 beberapa bulan lagi.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil dalam Majlis Ramah Mesra dan Makan Tengah Hari Bersama Ketua Penerangan UMNO Malaysia bersama Agensi Media siang tadi menolak untuk mengulas spekulasi mengenai Langkah London.

Sebaliknya beliau berkata, masih belum berkesempatan untuk bercuti sejak tahun lalu dan kini giat melakukan persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri yang diramalkan 3 atau 5 bulan akan datang.

Namun Isham berpendapat ada perkara lain yang lebih penting dan perlu ditangani dalam sistem politik Malaysia. Iaitu politik membeli undi yang dilakukan PN menyebabkan UMNO kalah dalam Pilihan Raya Umum ke 15 lalu

“Kalau ada anak muda nak masuk politik, dia tak mahu politik wang tetapi politik Malaysia (perlu wang), kalau awak nak masuk politik awak kena cari rasuah, sebab awak nak bayar pengundi.

“Itu salah satu sebab kenapa kita kalah. Kalau tak percaya tanya Ketua ketua Penerangan Negeri atau Ketua Bahagian.

“Kalau kita tidak angkat isu ini, dia  bayar pengundi, dia menang. Lepas itu kita akan angkat orang yang merasuah pengundi di dalam parlimen, dalam masa sama dia tuduh UMNO rasuah. Kita kalah dengan duit,” katanya.

Isham mengaku beliau antara orang bertama yang membangkitkan isu RM600 bilion perbelanjaan kerajaan PN ketika darurat yang tidak diaudit dan terbuka kepada dakwaan salah guna dana kerajaan.

Katanya, ketika ini telah terbukti berdasarkan fakta Kementerian Kewangan sebanyak RM92.5 bilion dibelanjakan kerajaan PN sepanjang tempoh darurat termasuk RM15 bilion kontrak yang sebahagian besarnya diberikan secara runding terus.

“Kalau kita tak tangani perkara ini maka mereka akan dapat kuasa, mereka runding terus lagi. Kedua, ahli politik dapat duit mereka bayar pengundi.

“Orang macam saya atau orang kebanyakan (cuba bertanding) yang tak buat benda ini, tak pernah ada rasuah (akan kalah). Sebab itu saya kata dalam Malaysia orang baik kena masuk politik. Kalau tidak dasar akan ditentukan oleh orang jahat.

“Sekarang macam mana orang baik nak menang kalau sistem politik Malaysia macam ini? Orang menang pilihanraya sebab bayar pengundi,” katanya.

Isham dalam majlis itu turut mencadangkan agar Kerajaan Perpaduan mengubal Akta Pendanaan Politik agar semua dana politik yang diterima oleh parti politik diaudit dan diisytiharkan.

Dengan cara itu katanya, parti politik tidak boleh lagi mempraktikkan cara gelap untuk mendapatkan wang bagi merasuah pengundi.