
Laporan awal dedah juruterbang sihat, cukup rehat sebelum penerbangan
Laporan awal membabitkan nahas pesawat Hawker Beechcraft 390 di Elmina Ogos lalu mendedahkan tahap kesihatan dua juruterbang yang terlibat ketika tragedi itu.
Laporan menyebut bahawa juruterbang (PIC) dalam keadaan baik dan mendapat rehat yang cukup sebelum penerbangan berlepas dari Langkawi.
Mereka juga tidak mempunyai masalah kesihatan serius berdasarkan sejarah kesihatan dan pemeriksaan fizikal, sekali gus mengenepikan faktor kesihatan dan psikologi sebagai punca nahas.
“Berdasarkan keterangan saksi, PIC dilaporkan dalam keadaan baik pada malam sebelum kemalangan itu.
“Saksi itu juga berkata bahawa PIC berehat dengan cukup sebelum penerbangan berlepas dari Langkawi,” menurut laporan berkenaan yang dimuat naik di laman sesawang Kementerian Pengangkutan pada Jumaat.
Berdasarkan laporan itu juga, juruterb6iaitu Shahrul Kamal Roslan, 41, dan pembantu juruterbang (SIC), Heikal Aras Abdul Azim, 45, memegang sijil perubatan yang sah dari Penerbangan Persekutuan Pentadbiran (FAA) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
PIC berjaya memperoleh sijil perubatan kelas pertama dari FAA dan memenuhi piawaian penglihatan pada semua jarak yang diperlukan pada 24 Mac 2023.
Beliau secara serentak memegang sijil perubatan CAAM yang sah dari 6 Disember 2022 hingga 31 Disember 2023.
“Berdasarkan sejarah dan pemeriksaan fizikal yang ada, juruterbang ini tidak mempunyai sejarah perubatan yang boleh menimbulkan bahaya yang signifikan kepada keselamatan penerbangan,” menurut laporan.
Laporan kesihatan itu turut menyebut bahawa pembantu juruterbang juga berjaya memperoleh sijil perubatan kelas pertama dari FAA pada 24 Julai 2023 dan memegang sijil perubatan CAAM yang sah dari 15 September 2022 hingga 30 September 2023.
Semakan sijil perubatan dan sokongan dokumen juga menunjukkan bahawa tiada kebimbangan perubatan yang signifikan pada SIC dan beliau menghadiri DME bagi pemeriksaan fizikal.
“Berdasarkan sejarah yang ada dan pemeriksaan fizikal, juruterbang ini tidak mempunyai sejarah perubatan yang boleh menimbulkan bahaya besar kepada keselamatan penerbangan,” jelas laporan berkenaan.
BACA JUGA Nahas Elmina terjawab hari ini, boleh diakses di laman sesawang MoT