Lawatan Anwar ke Thailand erat hubungan tradisi dua hala

Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Thailand hari ini bakal mengeratkan lagi hubungan tradisi dua hala.

Lawatan beliau banyak diulas oleh ahli akademik Thailand sebagai ‘saat yang ditunggu tunggu’ dan amat bermakna berdasarkan pengaruh Anwar di peringkat antarabangsa.

Laporan media tempatan sejak seminggu lalu malah telah tertumpu kepada lawatan memenuhi jemputan Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayut Chan-o-cha itu.

Dipetik ulasan Pengarah Institut Pengajian Asia Timur, Universiti Thammasat Kampus Rangsit, Prof Dr Chaiwat Meesanthan berkata lawatan tersebut amat besar ertinya dan bukan sekadar lawatan biasa antara pemimpin dua negara berjiran.

“Bagi Thailand, lawatan ini bukan sahaja ‘honor visit’ tetapi sebagai lawatan yang penting untuk perbincangan dan pentas menaiktaraf isu-isu yang Thailand mahu bincangkan dengan Perdana Menteri.

“Lawatan ini pentas penting untuk kerajaan Thailand,” katanya.

Manakala Wisma Putra dalam kenyataannya menjelaskan Anwar dan Prayut akan membincangkan hala tuju kerjasama ekonomi, pembangunan kawasan sempadan dan projek-projek di kawasan sempadan.

Ahli akademik lain pula mengambil sudut kekuatan imej Anwar yang dijangka boleh memberi pengaruh kepada penyelesaian isu konflik bersenjata pejuang minioriti Islam di selatan negara Gajah Putih itu.

Pensyarah kanan Institut Kajian Keamanan di Universiti Prince of Songkla, Penolong Prof. Dr Srisompob Jitpiromsri berkata, rundingan damai antara kerajaan Thailand dan kumpulan bersenjata berpengaruh di selatan Thailand, Barisan Revolusi Nasional (BRN) dijangka dapat diperbaiki dengan Anwar selaku perdana menteri.

“Beliau (Anwar) memahami isu pemberontakan dengan lebih mendalam dan mempunyai hubungan yang baik dengan penduduk di wilayah selatan sejak sekian lama.

“Syarat rundingan untuk Thailand secara relatifnya utuh tanpa perubahan kerajaan,” katanya dipetik Bangkok Post.

Malaysia sejak beberapa dekad lalu pernah berperanan sebagai fasilitator bagi proses dialog damai dalam menamatkan konflik berpuluh tahun lamanya yang meletus pada Januari 2004 di wilayah selatan di Narathiwat, Yala, Pattani dan sebahagian Songkhla.

Terbaharu, bekas Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dilantik sebagai Ketua Fasilitator Kerajaan Malaysia bagi Proses Dialog Damai di Selatan Thailand yang baharu, berkuat kuasa 1 Januari 2023.

Isu sempadan antara perkara yang dijangka akan dibincangkan antara Malaysia dan Thailand pada lawatan kali ini.

Dalam lawatan ini Perdana Menteri akan diiringi isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan delegasi Malaysia terdiri daripada Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad serta pegawai dari kementerian dan agensi yang berkaitan.

BACA JUGA Sedekah PRU: ‘Jawapan Hadi sekadar mahu lepaskan diri’