Lebih 2 juta golongan M40 nikmati manfaat cukai turun dua peratus

Kira-kira 2.4 juta pembayar cukai daripada golongan pertengahan M40 kini menikmati pengurangan kadar cukai pendapatan individu sebanyak dua peratus.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengurangan cukai itu bermula tahun ini dengan membabitkan antara lebih RM35,000 hingga RM100,000.

Menurut Menteri Kewangan itu, langkah itu membolehkan kumpulan terbabit mempunyai lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,300.

Dalam masa sama, Kerajaan Perpaduan akan menaikkan kadar cukai bagi mereka yang berpendapatan tinggi antara 0.5 sehingga 2 peratus membabitkan lebih RM100, 000 hingga RM1 juta,

“Namun, kurang daripada 150,000 pembayar cukai akan dikenakan cukai yang lebih tinggi,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Madani 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun menjelaskan bahawa menerusi pendekatan itu, cukai bersih kerajaan berkurang sebanyak RM900 juta yang dimanfaatkan sepenuhnya rakyat, khususnya golongan M40.

BACA JUGA Belanjawan Madani 2023: RM1.2 bilion disedia baiki 400 klinik, sekolah daif