Lebih banyak produk menjelang Aidilfitri menerusi JER

Program jualan murah negeri Selangor menerusi Jelajah Ehsan Rakyat (JER) anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan menawarkan lebih banyak produk menjelang sambutan Aidilfitri nanti, kata Exco Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim.

Izham berkata langkah berkenaan adalah bagi memenuhi permintaan dan keperluan umum terutama bagi umat Islam untuk melakukan persediaan menjelang hari raya.

“Jualan sepanjang Ramadan berjalan seperti biasa namun jumlah produk akan ditingkatkan terutama menjelang raya. Jualan juga akan dibuat lebih besar dan meluas.

“Kita faham permintaan (hari raya) nanti lebih tinggi dan akan memenuhi keperluan penduduk,” katanya ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (PH-Meru) berhubung pelaksanaan JER ketika Ramadan.

Pada masa yang sama, Izham yang juga ADUN Pandan Indah berkata JER bakal diganti dengan program baharu yang lebih tersasar bagi meringankan beban perbelanjaan rakyat.

Menurutnya, satu program yang lebih mampan bakal dilaksanakan pada pertengahan tahun ini dengan kerjasama beberapa pihak lain termasuk agensi Kerajaan Persekutuan.

“JER merupakan program intervensi bagi membantu penduduk terutama berpendapatan rendah berdepan kenaikan harga makanan ketika pasca pandemik Covid-19.

“Tidak wajar ia dilaksana berterusan begitu. Jadi selepas Mei kita ada kaedah lain yang lebih baik dan mampan dan berkemungkinan akan bekerjasama dengan kerajaan pusat di bawah Menu Rahmah atau Jualan Rahmah,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor.

Tambahnya, kerajaan negeri akan terus komited untuk membantu penduduk khususnya golongan B40 dengan kaedah baharu yang dapat menangani kos kenaikan harga barang.

Program JER dianjurkan di sembilan lokasi setiap hari kecuali Jumaat dari 9 pagi hingga 1 tengah hari sejak 15 Januari dan dijangka berakhir pada Mei.

Jualan murah barangan asas itu menawarkan produk seperti ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan).

Turut dijual ikan kembung atau selayang dengan harga RM6 per pek, minyak masak lima kilogram, RM25 dan beras lima kilogram RM10.

BACA JUGA: Jelajah Ehsan: Dengkil, Sabak antara sembilan lokasi jualan murah hari ini