‘Lebih murah buat rumah terbuka di Alor Setar berbanding Putrajaya’

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan penganjuran majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di Kedah adalah lebih murah berbanding Putrajaya.

Beliau menafikan dakwaan kononnya penganjuran majlis itu sebagai pembaziran mahupun tindakan seolah-olah menunggang agama.

“Kalau buat atas kapasiti peribadi, termasuk keluarga, ia wajarlah guna wang dari poket sendiri.

“Tetapi ini (anjuran) kerajaan untuk rakyat dan (perbelanjaan) jauh lebih murah (jika) buat di Alor Setar, Kedah berbanding di Putrajaya,” katanya pada sidang media di Sungai Buloh, Selangor hari ini.

Perdana Menteri memaklumkan keseluruhan kos penganjuran majlis itu digunakan bagi menyantuni rakyat.

Dalam masa sama, Menteri Kewangan itu berkata, amalan sama turut dibuat mana-mana parti yang menerajui Kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan negeri.

Ahli Parlimen Tambun berkenaan juga berpendapat dakwaan mengenai pembaziran itu merupakan pandangan peribadi mana-mana pihak yang mungkin kurang bersetuju dengan penganjuran majlis berkenaan.

“Kerajaan di mana-mana pun akan buat (majlis rumah terbuka Aidilfitri), bukan membazir kerana kita beri makan kepada rakyat. Bagi saya ia tidak membazir,” tambahnya lagi.

Terdahulu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamiul Ehsan, Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh, Selangor.

Untuk rekod, Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri itu akan diadakan di Hotel Raia di Alor Setar esok.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor disahkan akan menghadiri program anjuran Kerajaan Pusat itu bagi mengiringi Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

BACA JUGA Ribuan serbu majlis rumah terbuka AMANAH Kedah

Â