Lepas disiasat SPRM isu pemberian projek, Mahiaddin kata beliau bukan suspek

Selepas dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pemberian projek Jana Wibawa, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Mahiaddin Md Yasin memberitahu beliau dipanggil bukan sebagai suspek.

Sebaliknya kata bekas Perdana Menteri itu, SPRM memanggilnya untuk merakam keterangan dan melengkapkan siasatan berkait penganugerahan projek yang didakwa berkemungkinan wujud tatacara perolehan yang tidak mengikut peraturan ditetapkan.

“Saya tanya adakah saya suspek, dia (SPRM) kata bukan. Saya tanya (sama ada) mungkin saya akan dituduh, (SPRM) hanya minta saya menjelaskan hal-hal yang ditanya.

“Saya menjelaskan juga apabila ditanya (SPRM) saya kenal atau tidak kontraktor. Saya kata tidak kenal. Tak pernah berjumpa pun dengan mereka. Nama syarikat pun saya tidak tahu, bila dia (SPRM) bacakan senarai syarikat. Saya sudah berikan kerjasama agak baik,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program derma darah anjuran Yayasan Tan Sri Muhyiddin Golf Charity di sebuah pusat beli-belah, di sini, hari ini.

Begitupun, beliau menegaskan pasukan peguamnya sedang meneliti tindakan undang-undang terhadap beberapa tuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Katanya selama 50 tahun berada di dalam kerajaan, beliau sentiasa mengikut peraturan dan tidak pernah berhadapan tuduhan rasuah mahupun salah guna kuasa.

“Kita dah minta peguam kita teliti. Tak berhenti-henti fitnah terhadap saya.

“Saya ini dah 50 tahun dalam kerajaan, tiada kes tuduhan rasuah kepada saya. Tiada salah guna kuasa. Bukan nak kata itu tapi tak report saya lama-lama dulu masa Timbalan Perdana Menteri? Tiada.

“Saya ikut peraturan. Saya nak tegaskan saya pegang teguh pada keluhuran undang-undang tapi mereka tak yakin. Mereka golongkan saya macam golongan perompak yang lain. Saya tidak begitu,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata Kementerian Kewangan mengarahkan pelaksanaan projek Jana Wibawa ditangguhkan untuk meneliti semula sama ada tatacara perolehannya mengikut peraturan ditetapkan oleh perbendaharaan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dipetik berkata, penangguhan projek bernilai RM5.7 bilion itu dibuat kerana terdapat unsur kaedah perolehan secara tender terpilih atau runding terus.

Baca juga: Mahiaddin disoalsiasat SPRM semalam

Baca juga: Tan Sri Mahiaddin pegang rekod kos selenggara, pembaikan kereta tertinggi