Lepas kerajaan bertegas tiada pengeluaran, Shahidan masih bawa usul keluar KWSP

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini membawa usul mendesak kerajaan agar membenarkan pengeluaran sekali lagi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.

Beliau mendakwa pencarum semakin terdesak dengan harga barang yang semakin meningkat dan kos sara hidup meninggi.

Ditambah dengan pembukaan sekolah pada Mac 2023, hujahnya, pencarum semakin terdesak dan memohon Kerajaan Perpaduan untuk mempertimbangkan pengeluaran wang simpanan persaraan rakyat.

“Bahawa Dewan Rakyat menggesa kerajaan supaya menyegerakan pengeluaran KWSP secara bersasar oleh pencarum.

“Sesi persekolahan bagi kalendar akdemik 2023/2024 dijangka bermula 19 Mac 2023 bagi negeri kumpulan A dan 20 Mac bagi negeri kumpulan B

“Tambahan pula tidak lama lagi akan menyambut Ramadan dan Syawal, rakyat perlu satu perbelanjaan besar disamping mengharapkan dana bantuan kerajaan,” katanya di sidang Dewan Rakyat hari ini.

Usul dibawa Arau-PN ini pada awalnya telah ditolak oleh Speaker Dewan Dakyat untuk dibahaskan, namun ia telah dibenarkan pada saat akhir mengikut kuasa Speaker.

Terdahulu, Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan memberitahu seramai 8.1 juta pencarum sudah mengeluarkan wang KWSP dalam empat siri pengeluaran lalu dengan jumlah sebanyak RM145 bilion.

Atas sebab itu, kerajaan tidak boleh membenarkan lagi pengeluaran wang persaraan rakyat.

Dalam hal berkaitan, median simpanan ahli KWSP bagi semua kaum juga dilaporkan turun 50 peratus kepada RM8,100 pada 2022 daripada RM16,600 pada tahun sebelum pandemik Covid-19.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memberi jaminan akan mencari jalan lain bagi membantu rakyat, dan bertegas tidak akan membenarkan pengeluaran KWSP.

BACA JUGA 8.1 juta ahli KWSP keluarkan RM145 bilion