LPP, FAMA diarah cukupkan bekalan sayur

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Datuk Seri Mohamad Sabu telah mengarahkan agensi berkaitan untuk mengambil langkah menangani isu kekurangan bekalan sayur seperti kacang panjang, bendi dan terung.

Agensi terlibat iaitu Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) diminta untuk menambah dan mencukupkan bekalan bahan makanan tersebut.

Dalam masa sama, katanya, untuk jangka masa panjang, kementerian diterajuinya perlu mewujudkan sistem data raya bagi mendapatkan maklumat secara ‘real time’ tentang jenis sayuran yang sedang ditanam serta kos, jumlah dan lokasi pengeluaran.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata, sistem data raya itu juga untuk mendapatkan jumlah import dan eksport selain maklumat berkaitan jumlah permintaan.

“Melalui sistem ini, kementerian (MAFS) akan dapat membuat unjuran dan persiapan awal untuk menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pagi ini.

Mengakui bukanlah mahir dalam bidang teknologi maklumat (IT), Mohamad berkata, jika boleh beliau melihat ‘dashboard’ sistem tersebut melalui telefon pintar sahaja, bila-bila masa persiapan awal boleh dibuat bagi mengelak masalah kekurangan bekalan sayur.

“Misalnya, jika kita dah boleh unjur tiga bulan lagi bekalan timun akan berkurangan, maka kita dah boleh minta agensi untuk giatkan tanaman sayuran jenis itu mulai minggu ini,” ujarnya.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu juga yakin ramai anak muda mampu menghasilkan sistem tersebut.

“Saya rasa kementerian tidak ada halangan untuk memberikan dana yang sewajarnya untuk mereka membangunkan sistem ini demi kebaikan semua,” tambahnya lagi.

BACA JUGA ‘Abang Mat layak terima Datuk Seri, usaha pulih stok telur wajar diberi markah’