LUAS tangani pencemaran dalam empat jam

Penyaluran bekalan air bersih ke kawasan yang terkesan daripada insiden pencemaran bau seakan diesel di muka sauk Loji Rawatan Air Rantau Panjang (LRA Rantau Panjang) sedang dipulihkan secara berperingkat, kata Menteri Besar Selangor.

Ia susulan pengesanan pencemaran diesel di muka sauk LRA Rantau Panjang, LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 pada jam 9.45 malam semalam yang menyebabkan gangguan tidak berjadual.

Datuk Amirudin Shari berkata sepanjang LRA dihenti tugas, Air Selangor menggerakkan lori air ke kawasan kritikal selain memuji tindakan pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang telah berjaya mengawal pencemaran di muka sauk LRA Rantau Panjang.

“Pihak Air Selangor akan terus menggerakkan lori air ke kawasan kritikal seperti hospital, pusat dialisis, masjid dan rumah ibadat.

“Pencemaran ini berjaya ditangani dalam tempoh empat jam dengan penyaluran air mentah daripada HORAS 600 dan kolam alternatif KL Larut sebanyak 836 JLH serta meletakkan 3 ‘oil boom’ dan juga 3 kotak ‘oil pad’ di kawasan pencemaran tersebut” katanya menerusi Facebook.

Menurut Amirudin, LRA Rantau Panjang telah beroperasi semula pada jam 1.30 pagi manakala LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 serta 3 beroperasi pada jam 2.15 pagi tadi.

Selain itu katanya, pengguna boleh merujuk aplikasi dan media sosial Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) untuk maklumat terkini.

Sementara itu, LUAS memaklumkan sumber air mentah ke muka sauk LRA Rantau Panjang, LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 telah mula disalurkan semula selepas mencatatkan bacaan 0 TON direkodkan tiga kali berturut.

Menurut agensi itu, siasatan mendapati permasalahan pencemaran bau tersebut dikenal pasti berpunca daripada tumpahan minyak aktiviti jentera berat (diesel) di keseluruhan lembangan Sungai Selangor.

“Siasatan lanjut akan dilaksanakan bagi memastikan permasalahan ini diselesaikan sepenuhnya di lapangan berkaitan.

“Sebarang maklumat akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” kata LUAS menerusi Facebook.

Menurutnya lagi, Pihak Air Selangor akan terus menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan yang terlibat bagi memberikan bantuan bekalan air kepada pengguna.

BACA JUGA: Pahang-Selangor rintis kerjasama pengurusan kualiti air mentah, perhutanan