M40 terima manfaat pengurangan cukai, rancak kitaran ekonomi – Akauntan

Belanjawan Madani 2023 yang dibentangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam turut memberikan manfaat kepada golongan M40 dari segi pengurangan kadar cukai sebanyak dua peratus bagi banjaran pendapatan bercukai dari RM35,001 sehingga RM100,000.

Ianya dapat memberi manfaat kepada sekitar 2.4 juta pembayar cukai dengan nilai penjimatan dari RM300 bagi banjaran RM35,000 – RM50,000 sehingga RM1,300 bagi banjaran RM70,001-RM100,000.

Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA) Taqiyuddin Amini Abdul Satar berkata sebenarnya pengurangan kadar cukai ini bukan sahaja memberi manfaat melibatkan golongan M40 tetapi juga mereka di garisan pendapatan T20.

“Ini memberikan manfaat, walaupun tidak menerima Bantuan Tunai Rahmah, mereka mempunyai lebihan pendapatan boleh guna yang akan diterjemahkan dalam peningkatan belanja kepenggunaan sekali gus menyumbang kepada merancakkan kitaran ekonomi negara.

“Ini satu langkah berani penuh ihsan Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam kenyataan kepada Harapan Daily pada Sabtu.

Belanjawan Madani 2023 dibentang oleh Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan bertemakan ‘Membangunkan Malaysia Madani’ melibatkan peruntukan sebanyak RM388.1 bilion dengan RM289.1 bilion untuk perbelanjaan mengurus, RM99 bilion untuk perbelanjaan pembangunan termasuk RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

Belanjawan ini menumpukan 12 ikhtiar utama berdasarkan tiga tekad iaitu pemacu ekonomi yang inklusif dan mampan, pembaharuan institusi dan tadbir urus untuk mengembalikan keyakinan dan keadilan sosial untuk menyederhanakan kesenjangan.

Ini merupakan belanjawan pertama yang dibentangkan di bawah Kerajaan Perpaduan Belanjawan 2023 pada asalnya dibentangkan oleh kerajaan terdahulu pada Oktober tahun lepas tetapi tidak diluluskan selepas Parlimen dibubarkan.

Taqiyuddin berkata bagi golongan T20, kerajaan akan menaikkan kadar cukai 0.5 peratus sehingga dua peratus dalam julat banjaran pendapatan bercukai RM100,001 sehingga RM1 juta.

“Hanya sekitar 150,000 pembayar cukai akan terkesan dengan kenaikan ini. Langkah-langkah ini melibatkan akan mengakibatkan kerajaan kekurangan hasil bersih hampir RM1 bilion,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata langkah Kerajaan Perpaduan melancarkan semula program pengakuan sukarela adalah satu usaha yang boleh dipuji untuk meningkatkan pematuhan kepada regim percukaian negera sama ada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau Kastam Diraja Malaysia (KDRM).

“Tempoh pengampunan pula dipanjangkan bagi Belanjawan kali ini dari 1 Jun 2023 sehingga 31 Disember 2024. Kita dapat melihat kali pertama program pengakuan sukarela ini dibuat oleh Kerajaan Pakatan Harapan pada Belanjawan 2019 telah memberi impak yang positif kepada pungutan hasil negara,” ujarnya yang juga Rakankongsi kanan MNZWaja Chartered Accountants.

Tambah beliau kerajaan mengambil pendekatan progresif dalam konteks percukaian untuk meningkatkan hasil percukaian negara dengan beberapa cukai baharu bakal diperkenalkan seperti cukai barangan mewah bermula tahun ini pada kadar tertentu seperti jam tangan mewah, beg tangan dan barangan fesyen gaya hidup.

“Bagi membendung tabiat menghisap rokok elektronik, kerajaan bercadang mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.

“Kerajaan menyedari penjualan cecair vape secara berleluasa sehingga ke tahap mengekspot produk tersebut dengan nilai anggaran lebih RM2 bilion,” ujarnya.

Sementara itu, jelasnya kerajaan juga mengkaji perkenal Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat mulai 2024.

“Untuk tujuan ini, sesi libat urus akan di adakan dengan pihak terbabit seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Dewan-dewan perniagaan, Lembaga Hasil Dalam Negeri, badan-badan percukaian seperti MATA dan badan-badan professional lain dan sebagainya.

“Cukai keuntungan ke atas keuntungan modal bukan sesuatu yang luar biasa dalam rejim percukaian sesebuah negara. Ia juga telah diamalkan di beberapa negara seperti Hong Kong, Indonesia, Thailand, Filipina, Laos dan Kemboja.

Menyedari kepentingan Perniagaan Mikro Kecil Sederhana (PMKS), kadar cukai ke atas kumpulan ini dikurangkan kepada bagi pendapatan bercukai RM150,000 pertama dikurangkan daripada 17 peratus kepada 15 peratus, ujar beliau.

Katanya ini bermakna kadar cukai bagi PMKS mempunyai tiga kadar iaitu bagi pendapatan bercukai sehingga RM150,000 pada kadar 15 peratus seterusnya RM150,001 – RM600,000 pada kadar 17 peratus dan selebihnya pada kadar 24 peratus.

“Ianya akan memberi manfaat kepada 150,000 pembayar cukai PMKS. Ini akan memberi penjimatan cukai sekitar RM3,000 sahaja. Jumlah ini agak kecil bagi sesebuah PMKS.

Taqiyuddin berkata kerajaan sepatutnya boleh mempertimbangkan memberikan pengurangan bagi pendapatan bercukai sehingga RM600,000 untuk memberi lebih makna penjimatan kepada PKS terutamanya pada tempoh selepas bangkit dari pandemik.

“Kita dapati Belanjawan Madani 2023 sejajar dengan kerangka Malaysia Madani yang memberikan penekanan aspek membina kemampanan ekonomi yang mampu mendepani tantangan ekonomi termasuk mendepani keadaan ekonomi global penuh kecelaruan dan ketidaktentuan.

“Pada masa sama bersikap ihsan kepada rakyat dengan tekad mensifarkan miskin tegar dan membantu mengurangkan beban percukaian sehinggan ke golongan bawah kategori T20,” jelas beliau.

BACA JUGA: Lebih 2 juta golongan M40 nikmati manfaat cukai turun dua peratus