Maaf pemfitnah, melahirkan lebih banyak pemfitnah?

Tindakan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima permohonan maaf daripada Ketua Pas Perak Razman Zakaria kelmarin dianggap satu tindakan mulia.

Bagaimanapun Timbalan Ketua Penerangan PKR Malaysia, Razeef Rakimin khuatir tindakan itu hanya akan melahirkan lebih banyak pemfitnah atau menambah fitnah baharu kerana isu boleh diselesaikan dengan memohon maaf.

Katanya, fitnah Razman ketika berkempen pada 4 November 2022 terhadap Anwar kononnya akan membawa agenda LGBT, perkahwinan sejenis dan ideologi komunis sekiranya Pakatan Harapan memerintah mempunyai kesan serius terutama dalam kalangan rakyat yang tidak faham politik.

“Datuk Seri Anwar sebelum ini telah memenangi banyak saman fitnah sehingga mencecah jutaan ringgit, dan ini tidak termasuk permohonan maaf yang dibuat beberapa individu.

“Namun dalam situasi politik negara, kita boleh lihat tindakan melepaskan pihak yang melemparkan fitnah hanya kerana memohon maaf akan melahirkan lebih ramai pemfitnah dari puak yang sama.

“Mengikut rekod, Razman sendiri telah beberapa kali (tidak serik) kalah saman fitnah serta beberapa kali membuat permohonan maaf,” katanya dalam kenyataan.

Tegas Razeef, Razman pernah diarahkan membayar RM200,000 kepada Datuk Seri Nizar Jamaluddin pada November 2019 dan beliau masih berdepan dengan beberapa tindakan saman dari pemimpin Pakatan Harapan termasuk Lim Guan Eng dan Dr Mujahid Yusof Rawa.

Selain itu, katanya, beliau juga pernah membuat permohonan maaf kepada AMANAH atas dakwaan mengaitkan parti itu dengan komunis pada Jun 2017, membuat permohonan maaf pada Lim Guan Eng serta beberapa siri permohonan maaf kepada pemimpin Pakatan Harapan lain.

“Di sini jelas tindakan melepaskan Razman serta individu yang melakukan fitnah tidak akan ‘membuka mata’ para penyebar fitnah bahawa mereka tidak boleh lepas daripada tindakan undang-undang,” katanya.

Selain itu, Razeef juga khuatir dengan perkembangan terbaharu yang mana muslimat PN semakin berani mengeluarkan tohmahan yang tiada bukti di media sosial.

Katanya, tiba masa untuk Kementerian Komunikasi dan Digital bertindak lebih tegas dalam isu fitnah tersebut.

“Saya juga meneliti beberapa akaun media sosial, terutama TikTok yang digunakan bagi menyebarkan fitnah serta kebencian kaum yang dilihat semakin berleluasa. Dan amat menyedihkan bila penyebar fitnah ini adalah dari kalangan beberapa muslimah anak muda yang menyebarkan fitnah tanpa takut akan undang-undang serta membelakangi dosa dan pahala.

“Kementerian Komunikasi dan Digital perlu lebih agresif mengekang penyebaran fitnah ini. Tindakan undang-undang perlu diambil bagi mengelak penyebaran fitnah berleluasa serta menimbulkan ketegangan antara kaum,” katanya.

Tambah Razeef, sekatan ke atas fitnah bukan bermaksud menyekat hak kebebasan bersuara tetapi memberi hak kepada masyarakat yang tidak suka kepada fitnah untuk mendapat informasi yang betul.

BACA JUGA Akui memfitnah, Pesuruhjaya Pas Perak mohon maaf kepada PM Anwar