Mahabbah Ulama: Tingkat ilmu, akhlak, tegakkan keadilan – Anwar

Keunikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana menteri adalah sikap beliau yang cenderung kepada ulama dan sering mengudang ulama besar ke kediaman rasmi di Seri Perdana, Putrajaya untuk memberi ceramah ilmu.

Malam tadi dalam Majlis Mahabbah Ulama bersama Anwar Ibrahim, beliau memberi sedikit kupasan ilmu setelah khalayak mendengar Tausiyah Diniah yang disampaikan oleh dua orang ilmuan tersohor, Prof. Dr. Habib Abdul Hamid Al-Mahdali dan Prof. Dr. Mehmet Fadil Ceylani (Jailani), pimpinan Umum Markaz al-Jailani dari Istanbul, Turkiye.

Kata Anwar, tujuan khusus mendengar sheikh atau ulama besar memberi tausiyah adalah untuk memahami ilmu dan hikmah.

“Ilmu bertambah, mereka rumuskan ilmu. Masalah kita ialah melepaskan tanggungjawab dakwah dan dan mengajar.

“Pendidikan satu yang mulia, iaitu sebagai pendakwah dan pengajar. Jadi bila kita dengar sheikh besar nampak macam diketuk hatinya.

“Anwar ada keadaannya sekarang (sebagai PM), apa yang disebut tanggungjawab untuk menyebarkan hakikat ilmu, perbetulkan akidah umat dan melatih mereka supaya ada hubungan baik dan rahmah, kasih sayang sesama manusia,” katanya malam tadi.

Beliau juga mengingatkan rakyat agar tidak setakat menuntut ilmu tetapi perlu mengamalkannya secara penuh adab.

Ilmu yang ditimba, kata Anwar, akan membentuk negara ke arah tamadun dan peradaban gemilang.

“Ini tanggungjawab kita. Saya bila dengar mesti tingkat ilmu, tanggungajwab menyebarkan ilmu, tegakkan keadilan kerana amalnya dibezakan antara orang bicara, dan orang amalkan.

“Kita harus ada kesedaran itu. Bagi saya bila dengar (tausiyah) bukan untuk bermegah tetapi tercabar bagaimana dengan harapan sheikh besar dari Turki datang ke sini mendoakan, dengan maksud kita membawa satu perubahan uslah kepada umat.

“Bawa mesej baik kepada kemanusiaan, yang bukan Islam sekali pun, membawa tauladan bagaimana menegakkan keadilan melalui contoh akhlak,” katanya.

Bagaimanapun Anwar memberi amaran kekuasaan bukanlah dimegahkan, tamak atau sombong. Sebaliknya perlu lebih tawaduk dan memperkukuh akidah.

 Anwar menerima bingkisan Tafsir Al- Jailani dari Dr. Mehmet Fadil

“Saya cuba secara kecil kecilan. Masalahnya besar tetapi mula dengan contoh, pertahan kesederhanaan, (jangan) tamak haloba dengan kekayaan dan kemewahan.

“Satu dunia bila ada kuasa rebut, perkayakan diri, zalim. Diharap dengan mengadakan majlis ilmu seperti ini, dengan teras kita mengelakkan daripada pertelagahan dan perpecahan, kita menggalakkan mesej kesatuan.

“Sesetengah orang kata Melayu mesti bersatu. Bersatu itu ada prinsip dia. Ada tunggaknya, tunggak akidah, akhlak, keadilan, ilmu. Ini yang kita cuba faham,” katanya lagi.

Selain dua tokoh besar ilmu berkenaan majlis malam tadi juga dihadiri YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Haji Mokhtar, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Sohibus Samahah Datuk Dr. Luqman Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Dr. Sirajuddin Siraj, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), JAKIM, rombongan Markaz al-Jailani Asia Tenggara yang berpusat di Jakarta, serta sahabat-sahabat Anwar seperti Dato’ Seri Dr. Mujahid Yusoff, Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar dan lain-lain.

Di penghujung majlis ini Prof. Dr. Mehmet Fadil Al-Jailani memperkenalkan Tafsir Al- Jailani, edisi Bahasa Indonesia yang diusahakan penterjemahannya oleh Markaz Al-Jailani Asia Tenggara.