Mahfuz nafi spekulasi jadi MB sekali lagi

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar mengulas spekulasi yang mendakwa beliau disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar sekiranya gabungan BN-PH berjaya menguasai negeri itu.

Menerusi respon pendek yang dimuat naik di Biro Komunikasi AMANAH Kedah, Mahfuz secara berseloroh berkata, ada orang akan ‘dimasukkan ke hospital sakit jiwa’ sekiranya beliau dilantik sebagai Menteri Besar Kedah.

Beliau juga dalam sidang media selepas majlis sidang meja bulat, parti BN-PH Kedah, malam tadi, menyangkal dakwaan bakal dilantik menjadi menteri besar jika Pakatan Harapan menang pada PRN nanti.

“Kita akan bincang selepas ini untuk menentukan siapa calon Menteri Besar Kedah, yang pasti bukan saya, sebab kalau saya jadi Menteri Besar Kedah, sah (akan) ada orang ‘masuk wad gila’.

“Sekarang pun (orang itu) tengah ‘gila’ yang (mana) orang (ramai) melalui video tular tunjukkan kegelisahan mereka (itu)… (video yang mereka muat naik) itu (adalah) untuk melagakan dalam kalangan pimpinan (BN dan PH),” katanya.

Mahfuz yang juga naib presiden AMANAH itu, beliau tidak akan menjadi “poster boy” PH mahupun Barisan Nasional (BN) di Kedah.

Beliau yang turut menjadi pengerusi Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah itu, pemilihan calon bagi jawatan nombor satu di negeri jelapang padi itu masih belum dibincangkan lagi.

Sebaliknya, perkara itu hanya akan diputuskan selepas urusan pembahagian kerusi bagi menghadapi PRN selesai dilaksanakan sekitar pertengahan bulan depan.

Mengulas mengenai tindakan Perikatan Nasional (PN) menamakan Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor sebagai “poster boy” untuk PRN, Mahfuz berkata, perkara itu sudah dijangkakan.

“(Mereka terutama Pas) merasakan itu yang paling terbaik, (walaupun telah ditonjolkan) sifat yang ‘loqlaq’ (dan) dia yang ‘rempang’ (itulah) yang paling baik (untuk mereka),” katanya.

Ini adalah penafian Mahfuz yang kedua. Beliau membuat penafian pertama pada 13 April. Beliau juga telah menyatakan bahawa beliau tidak berminat untuk bertanding kerusi dewan undangan negeri.

BACA JUGA: “Yang pasti bukan saya calon MB Kedah” – Mahfuz Omar