Mahfuz optimis Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram milik Perpaduan

Mahfuz optimis Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram milik Perpaduan

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar menzahirkan kepercayaan bahawa masyarakat di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, akan mengekalkan legasi ‘Rahmah’ di kedua-dua kawasan itu.

“Berdasarkan suasana sekarang, saya percaya ianya masih memihak kepada Pakatan Harapan (PH) dan gabungan Perpaduan kerana masyarakat di kedua-dua tempat (Pulai dan Simpang Jeram) akan mengekalkan ‘legasi’ Rahmah Allahyarham Salahuddin Ayub.

“Ini yang menjadi budaya masyarakat Johor iaitu sepakat dan muafakat dalam bangsa Johor.

“Jadi, saya tidak nampak kedua-dua kerusi ini (Pulai dan Simpang Jeram) boleh tergugat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai dua kerusi itu yang menyaksikan dua calon AMANAH bertanding, iaitu Naib Pengerusi AMANAH Johor, Suhaizan Kaiat (Parlimen Pulai) dan Timbalan Ketua AMANAH Kawasan Bakri, Ir. Ts. Nazri Abdul Rahman.

Suhaizan akan berdepan saingan tiga penjuru membabitkan calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar yang juga Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pulai dan Samsuddin Mohd Fauzi yang bertanding atas tiket Bebas.

Di DUN Simpang Jeram pula, Nazri akan bertempur saingan tiga penjuru melibatkan calon PN, Dr Mohd Mazri Yahya dan seorang calon Bebas, S Jeganathan.

PRK di kedua-dua kerusi berkenaan diadakan susulan penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meninggal dunia pada 23 Julai lalu.

COMMENTS

Wordpress (0)