Mahiaddin dan pengadilan

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN) menyatakan kes Tan Sri Mahiaddin Yassin ialah pendakwaan terpilih dan tidak adil.

Semasa dan sebelum Mahiaddin menjadi perdana menteri (PM), beliau menjadi jaguh menentang rasuah dan mendesak mantan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak disiasat dan didakwa atas isu rasuah dan salahguna kuasa 1MDB.

Kerajaan PN beliau telah mendakwa ia kerajaan yang paling bersih dari rasuah dan adil.

Setelah beberapa orang kanan Bersatu didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tuduhan serius kes rasuah, siasatan kelihatan sampai kepada beliau.

Sebagai pejuang ‘anti rasuah’ dan kerajaan bersih, beliau dan PN patut menerima siasatan SPRM dengan hati terbuka untuk membersihkan parti dan diri.

Ketua SPRM Tan Sri Azam Baki adalah orang lantikan dan kepercayaan dan harapan beliau semasa menjadi PM dan beliau patut menaruh kepercayaan penuh kepada Azan Baki.

Siasatan terperinci amat perlu dan penting kerana semasa beliau menjadi PM tempoh darurat dan tutop nya Parlimen tidak memberi ruang Parlimen dan rakyat tahu bagaimana ratusan billion wang telah dibelanjakan. Ini peluang penjelasan.

Tidak ada ruang pemantauan semak dan imbang perbelanjaan ratusan bilion wang rakyat.

Sebagai jaguh anti rasuah, beliau patut berterima kasih dan ini adalah peluang beliau memberi penjelasan terperinci bahawa tidak ada penyelewengan telah berlaku walaupun orang kanan dan mereka yang ada kaitan dengan beliau telah didakwa.

Dengan prinsip kerajaan Melayu Islam PN bersih dan suci, tidak ada apa patut dirisaukan jika beliau tidak bersalah.

Kalau Datuk Seri Najib yang menjadi PM lebih lama boleh disiasat dan dihukum sepertimana gesaan Mahiaddin sendiri, kenapakah Mahiaddin meminta pertimbangan istimewa ketika giliran beliau?

Semua pihak mempunyai hak yang sama, tidak kira darjat pangkat kedudukan mengikut undang-undang tanpa mengira samada individu tersebut bekas perdana menteri atau rakyat biasa.


Penulis ialah Raja Kamarul Bahrain Shah, pengerusi Pakatan Harapan Terengganu