Mahiaddin mohon dilepas pertuduhan suapan RM232.5 juta

Tan Sri Mahiaddin Yassin memfailkan permohonan bagi membatalkan empat pertuduhan yang mendakwanya menggunakan kedudukan sebagai Perdana Menteri untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi Bersatu.

Bekas Perdana Menteri itu memfailkan notis usul berkenaan menerusi Tetuan Chetan Jethwani & Company kelmarin di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan menamakan Pendakwa Raya sebagai responden.

Mahiaddin, 75, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), memohon beliau dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan yang dikenakan terhadapnya pada 10 Mac lalu, selain prosiding kes itu di Mahkamah Sesyen ditangguhkan.

Menerusi afidavit sokongan difailkan bersama notis usul itu, dia mendakwa keempat-empat pertuduhan adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang.

“Ia bercanggah dengan Seksyen 152 Kanun Tatacara Jenayah kerana tiada mana-mana satu pun daripada empat pertuduhan itu mendedahkan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” dipetik Bernama. 

Dia sebagai Perdana Menteri (ketika itu) dan Presiden Bersatu didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti tersebut.

Mahiaddin didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.

Bapa kepada penyanyi Najwa Mahiaddin, 37, itu juga berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity yang dimasukkan dalam akaun CIMB Bank milik Bersatu.

Ahli Parlimen Pagoh berkenaan didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral antara 25 Februari 2021 dan 16 Julai 2021 serta 8 Februari dan 8 Julai 2022 mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Mantan Timbalan Presiden Umno itu juga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac lalu atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama.

BACA JUGA PN mungkin desak pilihan raya negeri awal susulan kes mahkamah Muhyiddin