Mahkamah tetapkan 12 Februari untuk putuskan dakwaan rasuah PRU Marang

Mahkamah Pilihan Raya menetapkan 12 Februari depan untuk memutuskan samada untuk mendengar atau menolak petisyen pilihan raya yang dikemukakan terhadap Parlimen Marang.

Hakim Hassan Abdul Ghani membuat keputusan itu selepas mendengar hujjah balas yang dikemukakan oleh para peguam bela Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang memenangi kerusi itu dalam pilihan raya umum lalu.

Umno Terengganu membuat petisyen terhadap tiga keputusan pilihan raya di Terengganu iaitu Parlimen Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman dengan mendakwa, Pas memberikan rasuah kepada pengundi.

Petisyen melibatkan tiga kawasan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 3 Januari lepas mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu Datuk Seri Ahmad Said sebelum ini berkata, petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan Pas telah menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November 2022, beberapa hari sebelum PRU15 melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.

Ahmad berkata,Umno Terengganu berharap pilihan raya dapat diadakan semula di ketiga-tiga kawasan itu, seperti yang pernah berlaku semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands pada 2018.

Hadi ketika mengulas isu ini berkata, tidak menjadi kesalahan untuk mena-mana pihak memberikan wang kepada pengundi melainkan calon dan wakilnya.

Bagi beliau, sumbangan pihak lain kepada pengundi boleh jadi juga sedekah.

 

BACA JUGA Kalau sedekah, kenapa kena ikrar sokong Pas?

JUGA SPRM: Sedekah kepada pengundi tetap rasuah