Mahkamah Tinggi tolak rayuan Dusuki, diperintah bayar Mujahid RM7,000

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak rayuan pendakwah pro Pas, Dusuki Rani berhubung keputusan Mahkamah Sesyen yang telah menolak saman fitnah yang difailkannya terhadap Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Mahkamah Tinggi seterusnya memerintahkan Dusuki membayar kos sebanyak RM7,000 kepada Naib Presiden AMANAH itu yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Hakim Datuk Khadijah Idris dalam keputusannya menolak rayuan Dusuki telah memberikan alasan ringkas antaranya mahkamah mendapati defendan atas imbangan kebarangkalian membuktikan bahawa kenyataan yang dipertikaikan (KYD) tersebut mempunyai justifikasi.

“Keterangan menunjukkan KYD itu yang merupakan satu tindak balas terhadap kenyataan plaintif yang disiarkan di Youtube pada 20 Februari 2020 bahawa Tabung Haji (TH) telah menjual aset yang terdiri dari hotel TH yang merupakan harta orang Islam kepada bukan Islam dan adalah dosa yang kena ditanggung sampai akhirat,” kata peguam defendan, Noorazmir Zakaria dari firma Akram Hizri Azad & Azmir yang memetik keputusan penghakiman tersebut.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 14 September 2022 telah menolak saman fitnah Dusuki terhadap Mujahid tersebut dengan kos RM11,000.

Saman tersebut difailkan berhubung dengan ciapan Mujahid terhadap Dusuki pada 22 September 2020 yang berbunyi: “Seorang Ustaz berdusta, berpuloh ribu jadi mangsa…berlagak tahu segalanya akhirnya telan api fitnah dalam perut dia sendiri…hingga kini tak pernah tarik balik pendustaannya…Allahu Mustaan…”

Hakim Mahkamah Sesyen di dalam keputusannya pada 14 September 2022 telah menyatakan: “Pernyataan dalam Twitter itu bukan merupakan suatu fitnah kerana daripada keterangan semasa perbicaraan telah terbukti bahawa aset Tabung Haji tidak dijual kepada orang bukan Islam”

Dalam pada itu, Noorazmir yang memetik alasan penghakiman berkata; “Keterangan juga menunjukkan terdapat penjelasan yang dibuat di Parlimen oleh mantan Perdana Menteri (terhadap soalan dikemukakan defendan) bahawa aset TH yang kurang berdaya saing dipindahkan kepada sebuah sebuah syarikat tujuan khas yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan bahawa TH tidak dikuasai oleh orang bukan Islam.

“Pemindahan tersebut adalah sebahagian dari pelaksanaan di bawah Pelan Pemulihan dan Penstrukturan TH yg diluluskan oleh Kabinet sewaktu defendan menjadi Menteri Agama di JPM,”

Terdapat juga keterangan bahawa plaintif sendiri setuju bahawa hotel TH tidak dijual kepada orang bukan Islam, kata alasan penghakiman tersebut.

“KYD tersebut adalah suatu tindak balas defendan terhadap kenyataan plaintif sendiri yang mengatakan hotel TH telah dijual kpd orang bukan Islam,” ujarnya.

BACA JUGA: Mujahid cadang gubal Akta Perpaduan Nasional, jenayahkan individu cetus ketegangan agama