Makna besar Universiti Selangor, Dr Siddiq Fadzil pada Anwar

Ketika masih menjadi pemimpin pembangkang, tiada universiti yang mahu menerima kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sedaya mungkin golongan terpelajar di menara gading, dari pentadbir, pensyarah hinggalah mahasiswa mahu dijarakkan daripada pengaruh lokomotif reformasi itu.

Namun ketika itu hanya Universiti Selangor (UNISEL) yang ditadbir di bawah Pakatan Rakyat (kini Pakatan Harapan) ‘berani’ membawa masuk Anwar ke kampusnya.

Hanya UNISEL yang sudi menjadi gelanggang bagi memberikan laluan kepada Anwar terus melantunkan suara pembaharuan terutamanya dalam bidang pendidikan yang diperjuang sejak sekian lama.

Presiden dan Naib Canselor Unisel, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata UNISEL memang mempunyai kaitan rapat dengan Anwar yang mahu melihat ia benar-benar menjadi pusat kecemerlangan pendidikan.

“Saya masih ingat lagi warkah sebanyak enam muka surat yang kirimkannya daripada penjara kepada saya. Beliau banyak menekankan soal keilmuan.

“Ketika itu saya masih belum menyertai UNISEL. Beliau menyatakan keinginannya untuk saya berkhidmat di UNISEL dan melaksanakan impiannya terhadap UNISEL terutamanya dari segi budaya ilmunya,” kata beliau kepada Harapan Daily.

Dr Mohammad Redzuan berucap dalam Wacana Pemikiran Siddiq Fadzil dan pelancaran IPKSF di UNISEL Shah Alam pada 17 Februari 2022. Foto UNISEL

UNISEL telah memberikan tempat kepada Anwar dalam sesi Temui Dato’ Seri Anwar Ibrahim di kampus Bestari Jaya pada 17 Oktober 2018.

Anwar juga dijemput menyampaikan Syarahan Darul Ehsan di UNISEL kampus Shah Alam bertajuk ‘Ke Arah Pendidikan Bersepadu Dalam Era Malaysia Baru’ pada 18 Februari 2019.

Bagi memastikan tradisi keilmuan terus berkembang di UNISEL, Anwar tidak melupakan tokoh ilmuan, pendakwah dan cendekiawan prolifik dalam penulisan, yang juga rakan akrabnya, Allahyarham Dr Siddiq Fadzil.

Dr Siddiq bukan sahaja mengambil alih teraju ABIM bagi mengantikan Anwar pada tahun 1983 susulan penyertaannya dalam politik malah tokoh ulama itu cukup kental mendukung perjuangan sahabatnya itu meskipun ketika tempoh penuh tribulasi lebih dua dekad.

Penulis masih ingat kata-kata Allahyarham Dr Siddiq dalam satu program pensejarahan ABIM di UNISEL sebelum pilihan raya umum ke-13; “Ketika Anwar meninggalkan ABIM ramai rakannya merintih bagaikan anak kecil yang ditinggalkan.”

Meskipun begitu Dr Siddiq tetap tegar bersama idelisme, keintelektualan dan tidak cenderung kepada kebobrokan penguasa ketika itu. Beliau sesekali tidak meninggalkan sahabatnya – Anwar sehinggalah menghembuskan nafas terakhir pada 31 Ogos 2021.

Legasi

Allahyarham telah meninggal legas yang cukup bernilai tinggi. Kini anaknya Fadhlina yang dilantik sebagai Menteri Pendidikan di dalam pentadbiran Anwar mempunyai cabaran besar untuk memartabatkan pendidikan di negara ini.

Penghormatan tinggi terhadap sumbangan Almarhum Dr Siddiq apatah lagi jika dilihat dari segi keakraban nilai persahabatan dua tokoh itu, Anwar memberikan idea agar ditubuhkan sebuah institut Dr Siddiq Fadzil dan mahu UNISEL menjadikannya sebagai kenyataan.

Institut Pemikiran dan Kepimpinan Siddiq Fadzil (IPKSF) telah dilancarkan oleh Anwar pada 17 Februari 2022 di kampus UNISEL Shah Alam dan ia diikuti wacana pemikiran serta pelancaran buku karya Almarhum Dr Siddiq.

Dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2022 pada 26 November 2021, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari turut mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi penubuhan Kursi Siddiq Fadzil.

Memetik kata Menteri Besar, penubuhan IPKSF dan Kursi Siddiq Fadzil di bawah kerjasama UNISEL dengan Institut Darul Ehsan (IDE) adalah bagi mengenang jasa dan pengorbanan Almarhum dalam menggalakkan usaha wacana keharmonian dan kesederhanaan seperti mana yang telah dipopularkan oleh beliau sebelum ini.

“Kerajaan Negeri juga bersetuju agar Kursi Siddiq Fadzil ditubuhkan bagi meneruskan perjuangan dan pemikiran Almarhum yang masih lagi kita dambakan. Begitu banyak buku dan tulisan Almarhum yang masih belum diteliti untuk dirakyatkan demi kesejahteraan negara dan bangsa,” katanya.

“Kita yakin bahawa ilmu dan pengalaman almarhum tidak harus terhenti disini setelah ketiadaannya. Banyak ruang yang harus diangkat untuk memastikan generasi akan datang akan lebih menghargai sumbangan dan pemikiran tokoh yang bernama Siddiq Fadzil.”

Dr. Mohammad Redzuan berkata, Almarhum Siddiq merupakan seorang tokoh yang sangat dekat dengan UNISEL.

“UNISEL menjenamakan proses pembentukan pelajar menerusi slogan pelajar ‘Budiman’ yang mana mengambil pandangan daripada saranan yang diberikan oleh Almarhum menerusi syarahan demi syarahan yang disampaikan oleh beliau sebelum ini,” katanya.

Melalui IPKSF, UNISEL memainkan peranan meningkatkan sokongan penyelidikan dalam bidang agama dan kemanusiaan termasuk pemikiran dalam kalangan sarjana dan agensi awam.

Padanya terangkum pemikiran yang pernah dibawa oleh Dr Siddiq iaitu pendidikan Al-Hikmah yang menekankan kepada pembaharuan dari sudut fikir, budaya kerja dan pembinaan masyarakat berakhlak.

Penumpuan turut diberikan kepada manhaj malizi dan demokrasi, fikh taayush (peaceful coexistence), maqasid syariah dan dakwah serta pengurusan berhikmah.

Dr Siddiq mahu pendidikan itu berasaskan nilai hikmah, sekolah yang bersifat ummatik dan kemahiran insan.

Pendidikan Al-Hikmah tersebut kemudian dipacu pula oleh kurikulum dan nilai-nilai madani sebagaimana kini diperkenalkan dalam pentadbiran Anwar.

Kini setelah menjadi Perdana Menteri, Anwar memilih UNISEL sebagai pusat pengajian tinggi pertama untuk beliau menyampaikan syarahan ulung.

Pagi ini sebelum berlepas untuk mengadakan lawatan rasmi ke Thailand, Anwar dijadual menyampaikan Syarahan Ulung Kursi Siddiq Fadzil bertajuk Reformasi Pendidikan Untuk Kesejahteraan Masa Depan Malaysia di kampus Bestari Jaya.

Kata Dr Mohammad Redzuan, kehadiran Anwar sungguh signifikan kerana ia merupakan program pertama Kursi Siddiq Fadzil selepas beliau melancarkannya tahun lalu.

BACA JUGA: Sesi bertanya soalan sejam kepada PM dibenar di Dewan Rakyat