Malaysia beri sumbangan aktif agenda bangunkan ICT ASEAN

Malaysia memberikan sumbangan secara aktif kepada agenda pembangunan sektor telekomunikasi dan teknologi digital di rantau ASEAN.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata perkara itu dilakukan melalui pelaksanaan projek-projek yang digariskan dalam Pelan Induk Digital ASEAN 2025 (ADM2025).

Dalam masa sama beliau berkata penyertaan Malaysia di Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN ke-3
(ADGMIN3) adalah bagi menzahirkan komitmen berterusan dalam memperkukuhkan peranan ICT sebagai pemacu utama transformasi ekonomi dan sosial ASEAN pasca Covid-19.

“Mesyuarat juga telah memperakukan Deklarasi Boracay. Ia secara dasarnya menggariskan komitmen negara ASEAN pada tahun 2023 bagi memantapkan jalinan kerjasama ke arah pembangunan sektor telekomunikasi dan teknologi digital melalui pelaksanaan projek-projek selari dengan ADM2025,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Fahmi telah mengetuai delegasi Malaysia ke ADGMIN3 di Boracay, Filipina pada 9 dan 10 Februari lalu.

Mesyuarat ADGMIN3 yang bertemakan ‘Synergized ASEAN: Human-Centric Approach to a Sustainable Digital Transformation’ telah dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (DICT) Filipina, Ivan John E. Uy

Fahmi bagaimanapun, menegaskan segala persetujuan yang dibuat di dalam mesyuarat tersebut bukanlah melambangkan pendirian Malaysia mengiktiraf Majlis Pentadbiran Negara (SAC) sebagai Kerajaan Myanmar yang sah.

“Malaysia sentiasa menekankan pendirian agar pihak SAC perlu menyegerakan pelaksanaan untuk mencari penyelesaian kepada kemelut politik di Myanmar,” katanya.

BACA JUGA: Fahmi ingatkan rakyat waspada elak jadi mangsa serangan siber