Malaysia Madani: kerangka wawasan Anwar

Malaysia Madani ialah konsep yang diperkenalkan semula oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai sebahagian tema majlis dialog Belanjawan 2023 semalam.

“Program ini mencerminkan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke arah masyarakat bertamadun, bebas memberi pandangan dan memupuk perpaduan,” Menteri Perpaduan Aaron Dagang dipetik berkata oleh Utusan Malaysia.

“Ini juga merupakan norma baru masyarakat masa depan yang ideal, menghormati satu sama lain, dapat bergaul dan bekerjasama walaupun berbeza bangsa, agama serta budaya,” kata beliau yang turut menambah bahawa kerajaan akan menjalankan pelbagai program untuk mempromosi konsep ini.

Menteri Perpaduan Aaron Dagang

Konsep masyarakat madani mula-mula diperkenalkan kepada masyarakat Malaysia melalui penulisan buku Anwar dalam bahasa Inggeris yang bertajuk The Asian Renaissance pada tahun 1996.

Buku tersebut turut diterbitkan dalam bahasa Melayu dengan tajuk Gelombang Kebangkitan Asia pada 1997. Versi Tamil dilancarkan pada 2018, 2 dekad selepas penterjemahan dijalankan.

Anwar juga menulis buku bertajuk Membangun Negara Madani: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi tahun lalu sebelum pilihanraya umum ke-15.

Terdapat enam nilai yang menjadi garis panduan dalam konsep negara madani iaitu:- kemampanan, kesejahteraan, daya cipta dan inovasi, nilai hormat, keyakinan serta ihsan

Dari sudut bahasa, perkataan madani adalah berasal dari bahasa Arab yang membawa erti kota peradaban. Dewan Bahasa dan Pustaka mentakrifkan madani sebagai maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan.”.

Dalam bahasa Inggeris, masyarakat madani bermaksud “civil society“.