Malaysia Madani pendekatan terbaik selamatkan negara – Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya bahawa tema Membangun Malaysia Madani akan kekal relevan dan dibincangkan sebagai satu iltizam dan pendekatan untuk menyelamatkan negara

Dalam ucaptama pagi ini, Anwar berkata beliau tidak akan mengungkit pentadbiran lalu biarpun apa sahaja kelemahan yang wujud.

Sebaliknya beliau dengan terbuka akan meneruskan segala sumbangan baik yang pernah diusahakan, sambil menegaskan akan menghentikan segala kelemahan pentadbiran terdahulu yang telah mengkayakan kelompok tertentu.

“Saya tak mahu mengungkit kerana pentadbiran lalu ada kekuatan dan kelemahan. Mana sumbangan kekuatan baik kita manfaatkan tanpa mengira blok mana.

“Tetapi semua kelemahan dulu mesti dihentikan. Kelemahan terbesar ialah cara mengurus menggunakan wang untuk memperkayakan kelompok kecil,” katanya.

Menteri KDN dan Menteri Pertahanan di majlis pelancaran Malaysia Madani. – Gambar Ghifari Mukhtar.

Beliau berkata demikian dalam Amanat Perdana Menteri sempena Membangun Malaysia Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Konsep Malaysia Madani diperkenalkan bagi menggantikan slogan Keluarga Malaysia yang digunapakai Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini

Merujuk kepada Dewan Bahasa dan Pusaka (DBP), madani membawa maksud maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan.

Dalam majlis yang disertai oleh pelbagai pihak termasuk menteri, pegawai kanan kerajaan dan pemimpin negeri itu itu, Anwar turut menyempurnakan montaj dan gimik pelancaran buku ‘Membangun Negara Madani’.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu bercakap kepada Khalid Nordin, Menteri Pengajian Tinggi. Di belakang mereka adalah Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, MB Terengganu. – Gambar Ghifari Mukhtar.

Buku yang diterbitkan Institut Darul Ehsan (IDE) itu antaranya menghimpunkan pengalaman politik serta hasil pembacaan Anwar selama empat dekad yang bermula dari zaman beliau bergelar mahasiswa hingga memimpin gerakan reformasi.

Antara 6 segmen madani termasuklah Kemampanan (Sustainability); Prihatin (Caring); Hormat (Respectful); Inovatif (Innovative); Kemakmuran (Prosperous); Kepercayaan (Trust)

Anwar diiringi kanak-kanak pelbagai kaum dalam pelancaran Malaysia Madani.-  Gambar Ghifari Mokhtar.

Sementara itu, Anwar berkata tatakelola yang baik adalah ukuran utama dalam membangun Malaysia Madani.

Beliau melihat bahawa membangun Malaysia Madani tidak boleh mengetepikan tunggak untuk mendirikan dan menegakkan sistem yang lebih mampan.

Dalam Belanjawan yang akan dibentangkan pada Februari depan, katanya, kerajaan akan menyentuh beberapa asas seperti mempercepat kelulusan projek dan menghentikan kaedah mendapat komisen yang bukan hak sendiri.

“Kita akan menegakkan sistem hukum yang tak memilih bulu dalam melaksanakan tanggungjawab dann tak juga menindas atau menekan mana-mana individu,” katanya.

Pada masa sama, kata Anwar, menyatakan keyakinan jika urus tadbir dapat dilaksanakan dengan telus maka kerajaan dapat mendepani kemelut ekonomi mendatang dengan lebih baik.

Katanya, jika projek-projek besar termasuk badan penguatkuasaan menjalankan tugas dengan teliti, telus dan bertanggungjawab, kerajaan boleh menyelamatkan berbilion ringgit wang kerajaan

“Semalam Jemaah Menteri menelusuri Laporan Ketua Audit Negara 2021. Sekiranya dapat diperbaiki kelemahan yang disebut berulang kali selama berpuluh tahun oleh Ketua Audit Negara, saya yakin sekitar RM5 hingga RM6 bilion boleh diselamatkan.

“Ini cabaran kita yang tak mungkin dilaksanakan oleh Jemaah Menteri sahaja tapi dengan keseluruhan kekuatan yang ada,” katanya lagi.

BACA JUGA Madani konsep ketamadunan dibincang sejak era kegemilangan Islam