
Malaysia mesti bebas anasir ekstremis, raih kepercayaan pelabur
Kesemua 19 parti politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan komited dan beriltizam untuk memastikan negara terus stabil, bagi meraih kepercayaan tinggi pelabur luar untuk datang ke Malaysia.
Penegasan itu dinyatakan dalam Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan di Seri Perdana, Putrajaya yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi.
Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kesemua parti juga sepakat, bahawa Malaysia mesti terus menumpukan perhatian kepada soal pemerkasaan ekonomi dan pelaburan, agar kehidupan rakyat lebih makmur dan sejahtera.
“Selain itu, Malaysia mesti terus mempertahankan identiti kemajmukan yang berteraskan negara bangsa yang progresif dan sederhana, bebas daripada sebarang anasir ekstremis yang mempolemikkan agama dan bangsa secara jumud yang memudaratkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.
Asyraf Wajdi berkata menerusi mesyuarat itu, Premier Sarawak yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg, turut menekankan aspek kestabilan sebagai kunci utama untuk menjayakan pelbagai agenda pembangunan, yang lebih diberikan keutamaan dan didambakan rakyat di Borneo.
“Bahkan, Sarawak merupakan contoh keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama bebas daripada sebarang fahaman ekstremisme agama yang songsang.
“Sekretariat Kerajaan Perpaduan juga diberikan tanggungjawab, untuk merencanakan program yang dapat memperkukuhkan lagi hubungan dan keserasian jitu seluruh warga parti Kerajaan Perpaduan hingga ke peringkat akar umbi,” kata bekas Ketua Pemuda Umno itu.
Dalam masa sama, beliau turut menjawab pertanyaan awam berkenaan ketiadaan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri dalam mesyuarat tersebut.
“Presiden Umno menghadiri pertemuan khas dengan Duta-Duta 34 negara OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) mengenai isu Palestin,” katanya lagi.
BACA JUGA Hadapilah nikmat video parodi – Surat terbuka kepada pempengaruh PN